DERHAKAKAH AKU?

KANGAR: “Saya mengaku dia bapa kandung saya tapi kami tidak serasi hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga saya.

“Lagipun, dia memang suka merempat dan hidup sebatang kara. Dulu pun dia duduk seorang diri di Langkawi,” kata lelaki yang mengaku meninggalkan bapanya di pondok bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad di sini, 7 Januari lalu.


Ketika dihubungi Harian Metro semalam, lelaki berusia 30-an itu tanpa rasa bersalah mendakwa bapanya, Abdul Rahman Talib, 57, memang suka merempat dan lebih gemar hidup sebatang kara.


“Saya mengaku mengajak dia tinggal ke rumah saya di Perlis selepas lama hidup seorang diri di Langkawi .


“Bagaimanapun, selepas dua minggu bersama, kehadirannya menimbulkan masalah kepada rumah tangga saya. Walaupun dia bapa kandung, pada masa sama saya juga perlu menjaga keharmonian keluarga termasuk isteri dan anak-anak,” katanya.




Menurutnya, bapa dan ibunya bercerai beberapa tahun lalu. Ibunya yang sudah berkahwin lain serta menetap bersama suami baru pula sering bertandang ke rumahnya di Beseri, dekat sini.


“Kekerapan ibu bertandang ke rumah mendorong saya meminta bapa mencari tempat lain untuk dia berteduh,” katanya yang berniaga secara kecil-kecilan di sini.


Ditanya kenapa dia tergamak meninggalkan bapanya yang uzur di tepi jalan, lelaki itu dengan selamba mendakwa memberi alasan bapanya tiada saudara-mara di Perlis kerana berasal dari Langkawi.


“Ketika membawanya dengan kereta, dia suruh saya berhenti dan menurunkannya sebaik terlihat pondok bas di tepi sekolah itu,” katanya. Harian Metro semalam melaporkan seorang warga emas yang baru selesai menjalani pembedahan jantung di Hospital Pulau Pinang terkejut apabila ditinggalkan anaknya bersama bungkusan pakaian di pondok bas terbabit.


Kejadian memilukan itu berlaku apabila Abdul Rahman yang baru dibenarkan keluar dari hospital menjejakkan kaki ke rumah anak lelakinya di sebuah taman perumahan dekat sini.


Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis memberi perlindungan kepada Abdul Rahman dengan menempatkannya di Rumah Orang Tua Batu Bertangkup, Chuping, dekat sini, kelmarin.


Beberapa pegawai JKM menemui Abdul Rahman di pondok bas berhampiran SK Datuk Wan Ahmad sebelum membawanya ke pusat perlindungan berkenaan, kira-kira jam 7 malam.


Timbalan Pengarah JKM negeri, Ku Chik Ku Mat Esa, ketika mengesahkan perkara itu, berkata Abdul Rahman mendapat keistimewaan memasuki rumah orang tua Batu Bertangkup kerana faktor kesihatan.


“Dia baru menjalani pembedahan jantung dan memerlukan penjagaan sempurna. Kehidupannya lebih terjamin menetap di sini yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.


“Kami sedih membaca laporan Harian Metro semalam yang mendedahkan perbuatan tidak masuk akal dilakukan seorang anak terhadap bapa kandung sendiri.


“Sebaik mendapat maklumat, saya mengarahkan beberapa pegawai mencari dia sebelum menjumpainya di pondok bas berhampiran sekolah terbabit dan kini Abdul Rahman menetap bersama lapan penghuni lain di rumah perlindungan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, Abdul Rahman turut diberikan bantuan bulanan RM150 selain makan minum percuma disediakan JKM di situ.


Sementara, Abdul Rahman ketika ditemui di rumah orang tua itu bersyukur kerana mendapat perlindungan sewajarnya daripada JKM.


“Saya tak mahu memikirkan perbuatan dia (anak) lagi. Walaupun sedih, saya `menghormati’ perbuatannya membuang saya. Lagipun, mereka sekeluarga tak pernah menghubungi selepas membuang saya di pondok bas itu sejak seminggu lalu,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut