BESUTKITO. - Penyanyi dan pencipta lagu berjudul Tak Tun Tuang, Silvia Nanda 
atau dipanggil dengan nama Upiak, 32, bukan dilahirkan dalam keluarga 
yang mewah dan berada.
Dilahirkan di Bukit Tinggi, Padang, 
Sumatera Barat, Indonesia, keluarganya hidup dalam kemiskinan sebelum 
dia berpindah dan menetap di Pariaman bersama keluarga angkat.
Cerita Upiak, selepas ibu bapanya bercerai, 
sebagai anak sulung daripada tiga orang adik beradik, dia melakukan apa 
sahaja pekerjaan demi sesuap nasi.
Maka itulah, kata Upiak, dia mula menyanyi sejak usia 13 tahun di mana-mana majlis perkahwinan di Pariaman.
Kata Upiak, dia dibesarkan dari satu keluarga 
angkat kepada satu keluarga angkat dan pernah berkahwin selama dua tahun
 setengah sebelum perkahwinannya berakhir dengan perceraian.
Upiak sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar 
Tak Tun Tuang hari ini ternyata tidak dapat menahan sebak dan 
mengalirkan air mata kegembiraan apabila lagu Tak Tun Tuang telah 
mengubah kemiskinan hidupnya yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.
Kata Upiak, dengan duit pendahuluan yang 
diserahkan oleh MVM Production (MVM) selepas dia menandatangani 
persetujuan untuk bernaung di bawah label tersebut, dia sudah mampu 
untuk membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk dirinya di kampung 
halaman.
“Untuk hidup, saya dibesarkan oleh keluarga 
angkat. Dari satu keluarga angkat kepada satu keluarga angkat yang lain.
 Saya juga melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk menyanyi di 
khemah-khemah orang kahwin seawal usia 13 tahun.
“Saya tidak memilih pekerjaan dan sebelum MVM 
datang berjumpa saya, saya menjual makanan nutrisi tetapi saya bukanlah 
misi yang bekerja di klinik,” katanya sambil mengesat air mata.
Upiak yang tidak mencilok lagu berjudul Madu dan
 Racun ciptaan dan nyanyian Ari Wibowo memberitahu, Tak Tun Tuang 
dicipta bersama kawannya, Ardi sekitar tahun 2014.
Kenyataan melodi Tak Tun Tuang tidak sama dengan
 melodi Madu dan Racun di mana hak penyiaran (publishing) adalah di 
bawah label Goodsound Music, disokong oleh Pengarah Urusan MVM 
Production, Hadi Rumnan.
Menurut Hadi, isu yang timbul itu telahpun diselesaikan dan hak penyiaran lagu Tak Tun Tuang adalah milik Upiak dan MVM.
Upiak yang menjadi popular dalam sekelip mata, 
mengakui tidak mempunyai suara yang gah tetapi populariti yang diraihnya
 berjaya menembusi pendengar di Thailand.
“Sememangnya saya tidak menyangka penerimaan 
pendengar di Malaysia dan Thailand kerana penerimaan awal masyarakat di 
tempat saya sendiri, orang melihat lagu Tak Tun Tuang sebagai lagu orang
 gila,” kata Upiak yang tidak berapa fasih berbahasa Melayu kecuali 
bertutur dalam dialek Minang Padang.
Upiak berkata, biarlah dia menikmati kehidupan hari ini dan serik untuk berkahwin lagi. 

