NIK AZIZ PERTAHAN DOA BALA

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan tindakannya berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau berkata, tindakan itu tidak salah kerana doa ditujukan sekiranya Najib mempunyai niat jahat apabila tidak memberikan royalti petroleum.

Berikutan tindakan itu beliau mendapat kritikan hebat termasuk daripada kalangan ulama di negara ini.

“Akhbar kata ulama bidas, saya nak tanya balik ulama benda apa? Ulama ni siapa dia? Di zaman Nabi Muhammad SAW, ulamalah yang menentang Nabi Muhammad. Iaitu ahli kitab. Ahli kitab ni iaitu Nasara dan Yahudi dipanggil ulama. Kedua-dua ini disebut ahli kita. Jadi kedua-duanya sama. Jadi yang lawan nabi ialah ulama.

“Maka sebab itulah Imam Ghazali tulis dalam buku Ihya Ulumuddin mengenai ulama jahat, kerana ulama ialah waris nabi. Bila kita jadi waris satu orang dan orang itu mati, kita terima pusaka. Pusaka itu apa yang ditinggalkan oleh si mati. Kalau si mati tinggalkan tanah kita terima tanah juga betul. Tetapi kalau kita terima lori sah dah lori haram.

“Begitu juga ulama. Ulama ini pusaka nabi Muhammad SAW. Bila Nabi Muhammad SAW wafat ulama ini terima ilmu Nabi Muhammad SAW. Bukan ilmu daripada Inggeris, bukan ilmu daripada sekular. Ilmu Nabi Muhammad SAW barulah ulama orang panggil,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, beliau hanya berdoa supaya membuka minda Perdana Menteri untuk memberikan royalti kepada Kelantan.

“Saya hanya doa kepada Allah minta Allah perbetulkan fikiran Perdana Menteri Malaysia iaitu beri (royalti) gas petrol kepada Kelantan... kalau tidak beri sah ada mala fide.. niat yang tak baik, itu saya minta musnahkan. Sebab jahat... salah apa saya,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap mempertahankan doanya dan menyifatkan tindakannya itu tidak bersalah kerana beliau memiliki hujah sendiri.

“Saya tetap mempertahankan tindakan itu dan Nabi Muhammad SAW di antara orang yang doa balas bela terhadap orang zalim. Pertama zalim ini kerana kita menganiayai diri sendiri. Iaitu kita syirik dengan Allah SWT.

“Saya tak salah sebab saya buat itu saya ada hujah. Bukan buat dengan emosi. Tidak...,” katanya.

Malah beliau sanggup untuk bersemuka dengan tokoh agama dan ulama termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membidas tindakannya itu dan dalam nada sinis memberikan kiasan ‘ulama jahat’ tanpa menjelaskan ditujukan kepada siapa.

Pada hari Hari Raya Aidiladha Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz meminta orang ramai supaya berdoa perbetulkan pemikiran Najib supaya memberikan royalti minyak dan sekiranya tidak, doakan supaya Allah musnahkan masa depan Najib, UMNO dan proksinya.

Ini bukan kali pertama beliau membuat seruan tersebut malah dalam kuliah mingguannya pada 18 September lalu, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu turut mengetuai bacaan doa khas meminta Allah menurunkan bala kepada Perdana Menteri jika Kerajaan Pusat enggan membayar royalti minyak.

Beliau mengulanginya semula pada kuliah mingguannya yang diadakan pada 2 Oktober.

Nik Abdul Aziz berkata, Nabi Muhammad SAWturut berdoa kepada Allah supaya menurunkan bala kepada mereka yang zalim.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut