PUTRAJAYA - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berpendapat masih ada harapan untuk lebih 1.4 juta penjawat awam menerima bonus menjelang Aidilfitri.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang memaklumkan kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang Aidilfitri, kata Omar.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan itu dan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi mempertimbangkan permohonan Cuepacs untuk 1.4 juta penjawat awam.
"Cuepacs yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan perkara ini. Saya rasa ada harapan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Puspanitapuri di sini malam ini.
Cuepacs sebelum ini masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Share this