40 WARGA INDONESIA DEMONTRASI GANAS DEPAN KEDUTAAN MALAYSIA

WARGA INDONESIA ULANGI TINDAKAN GANAS TERHADAP KEDUTAAN


JAKARTA 19 Ogos - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus menjadi sasaran kumpulan
penunjuk perasaan warga Indonesia sejak kejadian penahanan tujuh nelayan Malaysia dan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh pihak berkuasa dari kedua-dua negara di sempadan perairan Malaysia-Indonesia, utara Bintan, Kepulauan Riau, Jumaat lepas.

Kali ini ia melibatkan kira-kira 40 peserta dari pertubuhan Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) yang terdiri daripada belia, mahasiswa dan suri rumah, yang berhimpun di depan bangunan kedutaan besar di Kuningan, Jakarta Selatan.

Sejumlah 100 anggota polis berkawal di hadapan bangunan kedutaan besar bagi mengelak peserta bertindak liar seperti yang berlaku Isnin lepas apabila sekumpulan 80 penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih (LMP) bertindak merosakkan plak nama kedutaan itu selain peserta memanjat pintu pagar dan bumbung pondok pengawal keselamatan di itu.

Perbuatan kumpulan LSM itu memaksa Kedutaan Besar Malaysia menghantar nota protes kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Polis Republik Indonesia kerana pihak polis gagal melindungi harta benda kedutaan itu daripada dirosakkan, selaras dengan perlindungan yang dinyatakan di bawah Konvensyen Vienna.

Dalam kejadian hari ini, wakil pertubuhan itu menyerahkan kenyataan pendiriannya kepada Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Raja Reza Raja Zaib Shah, dan antara kandungan kenyataan itu beliau menyeru masyarakat Indonesia memboikot produk Malaysia seperti Petronas dan Proton.

Mereka turut menyatakan perang terhadap Malaysia, yang mereka dakwa merendahkan bangsa Indonesia.

Wakil kumpulan itu menolak untuk berdialog walaupun pihak Kedutaan Besar Malaysia bersedia menerima kehadiran mereka.

Dalam komunikasi singkat dengan wakil kedutaan Malaysia di hadapan bangunan kedutaan itu, wakil LIRA berharap insiden di perbatasan itu menjadi yang terakhir bagi kedua-dua negara.

Sebelum berdemonstrasi di hadapan kedutaan besar itu, anggota LIRA terlebih dahulu berhimpun di depan pejabat Petronas di Mega Kuningan, dan dalam kejadian itu mereka juga menolak untuk berdialog dengan pihak Petronas.

Ketujuh-tujuh nelayan Malaysia dan ketiga-tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia dibebaskan pada Selasa lepas menerusi usaha diplomatik kedua-dua negara. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

1 komentar:

komentar

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut