BUDAK MELAYU BERMATA BIRU


BUKAN di New York, London atau Riyadh sebaliknya cuma di Kota Kuala Muda, Kedah. Tidak berketurunan orang putih atau Asia Barat, mahupun berdarah kacukan, kewujudan seorang kanak-kanak Melayu yang memiliki sepasang mata biru di negara ini dianggap luar biasa.

Iris atau anak mata Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal berwarna biru air laut!

"Setahu saya memang tidak ada darah mat saleh atau Arab dalam keturunan kami. Kulit kami pun gelap-gelap," kata datuk kanak-kanak itu, Ahmad Mustafa, 62, kepada Jurnal.

Difahamkan, semasa dilahirkan, mata kanak-kanak itu berwarna hitam macam kebanyakan orang Melayu. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

Aizat yang berusia setahun 4 bulan merupakan anak kepada pasangan bisu dan bermasalah pendengaran, Mohd. Rizal Mohamad, 34, dan Noraini Ahmad, 31.

Ahmad berkata, setakat ini doktor yang ditemuinya belum mengetahui punca mata biru Aizat, namun mengesahkan matanya tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Hal itu mendorong tercetusnya pelbagai tanggapan. Selain Aizat mungkin mewarisi ciri bapanya yang memiliki sebelah mata yang sedikit kebiruan, hubungan rapat ibu kanak-kanak itu dengan seekor kucing Siam peliharaan juga dikaitkan sebagai punca mata biru Aizat.

"Semasa mengandungkannya, ibunya gemar bermain dengan seekor kucing Siam yang bermata biru. Selalu selepas pulang dari kerja, dia akan bermain dengan kucing itu dan suka memandang matanya. Dia sering membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruannya.

"Ada orang kata kejadian ini mungkin kenan kucing tetapi saya tidak pasti sama ada ia betul atau tidak. Apa pun, saya anggap ini semua kuasa Allah," kata Ahmad.

Biarpun tidak diketahui sama ada apa yang terjadi kepada Aizat sebagai kenan atau tidak, kejadian itu mendorong Jurnal untuk mengupas mengenai kenan haiwan.

JIKA bukan kenan kucing, mata biru Aizat mungkin diwarisi daripada bapanya yang mempunyai sebelah mata yang kebiruan.

Kenan katak

Pembongkaran misteri kenan ini telah menemukan Jurnal dengan Muhammad Noraiman Kamal yang sudah berusia 10 tahun tetapi masih tidak boleh berdiri dan kakinya membengkok. Keadaannya itu dikaitkan dengan kenan katak.

"Begitulah keadaan anak saya. Umur 10 tahun tapi badan kecil macam budak umur setahun. Tangannya seperti tidak ada. Bila dia meniarap memang nampak macam katak," kata bapa Nor Aiman, Kamal Buyong, 70.

"Biasanya pukul 2 atau 3 pagi dia masih berjaga dan saya bermain dengannya. Pukul 5 pagi baru dia tertidur," ujar Kamal yang dikurniakan 11 orang anak dan Nor Aiman merupakan anak bongsu.

Isterinya, Siti Ramlah Mamat, 53, bercerita, keadaan itu mungkin berlaku kerana dia pernah mencurahkan air kepada katak semasa mengandungkan Nor Aiman.

"Saya terkejut, geli tengok. Saya curah air padanya. Rasanya tak panas sangat air itu. Masa itu, tak ingat yang saya mengandung. Kandungan baru berusia tiga minggu," ujarnya yang pasrah dengan takdir Tuhan dan tetap menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang..

Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Penjagaan Bayi dan Ibu Dalam Pantang mentakrifkan kenan berasaskan pemahaman orang Melayu ialah kecelakaan, sama ada merupakan penyakit atau kecacatan yang dialami oleh bayi yang baru dilahirkan akibat melanggar pantang, yang dilakukan ibu atau bapa ketika bayi masih dalam kandungan.

Ia boleh terjadi kerana perbuatan membunuh, menyeksa binatang atau si pelaku melakukan sesuatu dalam keadaan lupa dirinya sedang mengandung.

Seorang bidan, Raja Aizam Raja Ahmad, 58, berkata, kenan juga mungkin boleh berlaku kepada ibu-ibu mengandung yang terkejut melihat binatang.

"Itu sebab pesan orang tua-tua dulu, kalau ibu sedang mengandung, lagi-lagi ketika hamil tiga bulan ke bawah, si ibu atau bapanya perlu menjaga kelakuan. Si suami dinasihatkan tidak pergi berburu atau memotong haiwan.

Amarah haiwan

"Si ibu juga tidak boleh terkejut nampak sesuatu. Terlalu suka atau amat berkenan pada sesuatu pun tak boleh juga," katanya yang pernah menyaksikan pelbagai kejadian kenan seperti kenan biawak, kenan ular, kenan monyet dan kenan katak.

"Pernah satu kejadian di Perak, seorang bayi yang dilahirkan itu hanya normal pada waktu siang. Tetapi, setiap malam dia menangis. Sampailah ibunya merendamkannya dalam air di dalam tempayan baru dia berhenti menangis.

"Bila diangkat sahaja, dia kembali menangis. Sejak itu, setiap malam dia perlu berendam dalam air. Selama tujuh bulan begitu sehinggalah bayi itu meninggal dunia.

"Kejadian itu berlaku mungkin disebabkan si ibu yang merupakan seorang pekebun, geli dengan seekor biawak lalu tercangkul kepalanya," ujarnya yang lebih mesra disapa Mak Engku ketika ditemui di kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Kejadian kenan ular pula menjadikan seorang kanak-kanak itu tidak boleh makan tumbuhan-tumbuhan menjalar seperti tembikai lalu tubuhnya akan mengeluarkan sisik. Kanak-kanak lelaki itu akhirnya meninggal dunia pada usia 17 tahun.

"Diceritakan, semasa mengandung, ibu budak itu terkejut apabila melihat ibunya (nenek yang mudah melatah) 'bermain' dengan anak ular kerana seorang cucunya telah memperdajal dengan menyorokkan telur ular (kemudian menetas) di dalam tin," katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi bidan.

"Mungkin apa yang berlaku itu kerana haiwan marah dan ia menjadi peringatan kepada manusia supaya tidak menyakiti haiwan. Lagipun, agama mendidik kita supaya saling menyayangi hidupan di muka bumi," katanya.

Mak Engku mengingatkan, kenan bukan sahaja boleh berlaku akibat perbuatan ibu, bapa atau ahli keluarga semasa kehamilan tetapi juga bagi jangka masa sebelum itu.

KAKI Noraiman yang bengkok menyerupai katak dikaitkan dengan kenan amfibia itu.

Perlindungan

"Ada seorang lelaki yang telah menembak mati seekor ibu monyet semasa mudanya dan beberapa tahun selepas itu dia berkahwin dan melahirkan anak kenan monyet.

"Tangan anaknya panjang luar biasa, berjalan seperti monyet dan anaknya suka duduk di atas TV," ujarnya.

"Apa pun, kita kena ambil peka pesan orang tua-tua. Bila mereka larang pasti ada sebabnya. Tetapi kita juga kena ingat semuanya berlaku dengan kuasa dan ketentuan Allah," katanya lagi.

Pengamal perubatan Islam di Darussyifa', Bangi, Abdul Rahman Nawas berkata, pendirian Islam berhubung hal ini ialah jangan percaya 100 peratus tetapi jangan tidak percaya langsung kerana telah berlaku banyak kejadian aneh sebegitu.

"Memang kenyataan sebenar tidak kita ketahui. Tapi kita mengambil pendirian kemungkinan kezaliman telah berlaku.

"Kita kena ingat semua makhluk di bumi ini berzikir kepada Allah. Maka, ia juga boleh berdoa kepada Allah.

"Berdasarkan hadis, doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijab, ia terus sampai kepada Allah.

"Mungkin haiwan yang dizalimi berdoa memohon sesuatu ditimpakan ke atas mereka yang menzaliminya," ujarnya.

Sebagai perlindungan, Abdul Rahman berkata, individu perlu sentiasa beringat dan memohon pertolongan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Jika dalam keadaan terpaksa membunuh haiwan sekali pun, perlu diberikan amaran terlebih dahulu.

AHMAD MUSTAFA bersama cucunya, Mohd. Aizat Aiman yang mempunyai sepasang mata biru.

"Kalau ada ular masuk rumah pun, jangan terus bunuh. Tinggalkan rumah itu dan beri tempoh tiga hari sekurang-kurangnya untuk ia pergi," ujarnya.

Abdul Rahman berkata, dia sendiri pernah mengubati kanak-kanak yang kenan burung kasuari, kenan ular dan kenan kera. Katanya, kebanyakan kenan berlaku kepada kanak-kanak.

"Alhamdulllah, jika kenan yang melibatkan perbuatan, kita masih boleh mengubati setakat ini.

"Cuma kenan yang bersifat kecacatan fizikal itu di luar kemampuan kami," ujarnya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut