ANGKARA CINTA SANTAU


AKIBAT TOLAK CINTA....

KUANTAN – Akibat menolak cinta, seorang gadis terlantar menanggung azab kesakitan apabila anggota badannya dari pinggang hingga ke kepala tidak boleh disentuh dipercayai angkara ilmu hitam.

Nor Mazidah Norais, 23, dari Felda Lepar Hilir 3, di sini dipercayai menjadi mangsa dendam seorang lelaki yang cintanya tidak berbalas sehinggakan anak gadis itu menjadi mangsa santau sejak dua tahun lalu.

Malah lebih mengejutkan, santau yang ditujukan kepada anaknya itu tidak dapat dipulihkan walaupun ibunya, Maziah Darhan, 46, telah membawanya menemui ramai pengamal perubatan tradisional.

Maziah berkata, keadaan anaknya ibarat mayat hidup kerana bukan sahaja terlantar malah berat badannya susut selain penglihatannya juga tidak berfungsi dan percakapan terbatas akibat terpaksa menanggung kesakitan.

Menurutnya, kesakitan yang ditanggung anaknya sepanjang masa dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata malah dia menghadapi kesukaran untuk menguruskan anaknya kerana tidak boleh disentuh.

“Anak saya pernah cerita sewaktu dia sihat dulu yang dia menolak cinta seorang lelaki kerana dirasakan tidak sesuai menjadi pasangannya. Ia perkara biasa bagi anak gadis tetapi saya tidak terfikir pula ada yang sanggup menggunakan ilmu hitam.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan tidak tahu siapa punya angkara tetapi saya terkilan kerana masih ada orang yang sanggup mengguna ilmu hitam untuk membalas dendam. Mengapa perlu santau anak saya. Lebih baik buat anak saya menyukainya.

“Hidup anak saya sangat sukar. Sakitnya sepanjang masa dan kulit tidak boleh disentuh, malah tidak boleh juga terkena angin dari kipas kerana pedih yang amat sangat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menyingkap detik permulaan anaknya terkena ilmu hitam, dia berkata, Mazidah yang bekerja di butik di pusat membeli belah di bandar ini pulang ke rumah dan muntah-muntah sebelum keadaan bertambah buruk.

Katanya, lebih meruntun jiwa, ada kalanya anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak dapat menahan kesakitan sehingga meraung-raung kerana azab yang ditanggung sangat dahsyat.

“Bukan saya nak percaya anak saya terkena ilmu hitam tetapi semua bomoh mengatakan perkara sama. Maka sedikit sebanyak saya kena percaya malah penyakit yang dideritai anak saya sangat misteri.

“Tidak terhitung betapa ramainya bomoh saya temui untuk mengubat anak saya, semuanya kata angkara santau. Setiap kali pergi berubat ada sahaja benda yang dikeluarkan tetapi anak saya tidak dapat dipulihkan. Sudah ribuan ringgit dihabiskan untuk mengubatinya.

Maziah turut membawa anaknya itu menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mengesan penyakit yang dianggap misteri itu tetapi keputusan yang diterima amat mengejutkan.

“Doktor kata anak saya sihat dan tidak mengidap apa-apa penyakit berbahaya. Selain itu, Nor Mazidah juga turut menjalani rawatan lain untuk mengesan penyakit tetapi keputusannya negatif.

“Jika bukan kerana ilmu hitam, saya tidak tahu lagi apa yang sebenarnya dialami anak saya. Perubatan moden gagal mengesan penyakitnya. Saya telah mencuba kedua-dua cara,” katanya.

Maziah berkata sekiranya anaknya tidak dibawa berubat dengan bomoh, keadaannya semakin parah dan kesakitan yang dialaminya juga semakin teruk jeritan mampu didengar jirannya.

Selepas anaknya jatuh sakit, Maziah terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kafe di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kerana menjaga Nor Mazidah yang terlantar sepanjang masa dan memerlukan perhatian daripadanya.

“Anak saya mandi dua kali seminggu sahaja kerana saya kasihan dengannya. Setiap kali disentuh dia akan menangis kerana sakit tetapi saya terpaksa untuk mengelakkan badannya terkena jangkitan lain.

“Sayalah yang menemaninya sepanjang masa. Saya redha dengan ketentuan tetapi akan terus berusaha mengubati anak saya walaupun susah sekali pun. Saya juga tidak jemu mengadakan solat hajat dan membaca Yasin untuknya,” katanya.

Maziah turut merayu kepada orang ramai yang mengetahui cara atau memiliki kebolehan dalam perubatan cara Islam dan tradisional membantu merawat anaknya itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang melawat mangsa semalam akan merujuk perkara itu kepada Felda bagi mendapatkan bantuan untuk keperluan Nor Mazidah.

“Saya berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan dugaan ini. Saya akan cuba membantu. Saya akan berbincang dengan Felda untuk melihat bantuan yang bagaimana boleh disalurkan.

“Saya berharap sesiapa di luar sana mempunyai ilmu perubatan dapat tampil membantu anak gadis ini. Umurnya masih muda dan perjalanan hidupnya masih jauh,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga mangsa di talian 09-5495482 atau 013-9646034.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

1 komentar:

komentar
16 Mei 2010 pada 10:08 PTG delete

insan yg bernama mazidah itu adalah rakan sekelas sy ms skolah dulu...doakan supaya insan tersebut lekas sembuh...insyallah....

Reply
avatar

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut