GEJALA SAKIT PERUT


gambar Hiasan
BIASANYA, penyebab sakit perut tidak begitu jelas. Ia boleh jadi sakit kerana masuk angin, salah makan atau terlambat makan.

Namun perlu diketahui, tidak semua rasa sakit itu berasal dari bahagian perut. Ia juga boleh terjadi di bahagian luar perut dan sakit perut boleh menjadi petanda penyakit serius seperti usus tersumbat.

Oleh kerana itu, penting untuk para ibu bapa lebih mengenali gejala sakit perut, agar ia boleh ditangani dengan tepat sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Pertama, ibu bapa perlu mengetahui gejala sakit perut umum. Setiap peringkat umur kanak-kanak menunjukkan gejala yang berbeza. Misalnya, bayi baru lahir hingga usia tiga bulan biasanya mengalami gejala seperti muntah.

Bagi bayi berusia tiga bulan hingga dua tahun pula, biasanya anak akan mengalami muntah, menjerit secara tiba-tiba serta menangis tanpa ada sebab yang dapat dijelaskan.

Untuk kanak-kanak yang berusia dua hingga lima tahun pula, mereka lazimnya sudah dapat mengatakan sakit perut namun belum dapat ditafsirkan dengan tepat.

Kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas pula dapat menjelaskan dengan baik sifat dan tempat yang dirasakan.

Bayi sering mengalami gastroenteritis atau cirit-birit, namun amat penting juga untuk memerhatikan kelainan pada bahagian-bahagian badan yang lain. Kepada anak usia prasekolah, sakit perut boleh jadi disebabkan oleh apendiks, radang paru, sembelit dan trauma.

Sementara anak usia sekolah biasanya mengalami apendisitis, trauma, sembelit dan radang usus.

Sakit perut dan cara mengatasinya

Jika sakit perut kerana makan berlebihan atau gas, gejalanya ialah perut bayi atau kanak-kanak itu kembung dan kejang pada perut.

Tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah lapkan air suam pada bahagian perut si kecil dengan lembut.

Untuk penyakit sembelit pula, biasanya penghidap akan merasa sakit perut. Cara mengatasinya adalah dengan memberikan si kecil jus prun yang dihancurkan atau ubat yang dijual dalam pasaran. Namun yang penting, biasakan si kecil untuk lebih banyak makan makanan berserat.

Bagi keracunan makanan pula, anak akan mengalami kejang perut, muntah, cirit-birit dan sering demam.

Untuk mengatasinya, berikan makanan atau beri minum air yang banyak bagi mencegah dehidrasi.



Alahan laktosa pula ialah sejenis penyakit yang menunjukkan gejala seperti sering buang angin, muntah atau sakit perut setelah minum susu.

Untuk itu, sebaiknya pilih susu dan keju yang bebas laktosa.

Jika anak anda menunjukkan gejala seperti berasa terlalu sakit di sekitar pusat atau perut bahagian kanan, segera bawa si kecil anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Stres juga boleh menyebabkan sakit perut pada bayi dan kanak-kanak. Mereka akan sakit perut yang dirasakan sukar untuk dijelaskan, walaupun si kecil nampak sihat.

Jika ia berlaku, cari penyebab dan penyelesaiannya. Ia mungkin tekanan akibat kepadatan waktu belajar di sekolah.

Untuk mendapatkan lebih kepastian, anda boleh membawa anak berjumpa dengan pakar psikologi untuk merawat tekanan yang dihadapinya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut