BERJUAL BELI SELEPAS AZAN JUMAAT

SUDAH menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang berkerjaya terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengah hari untuk makan serta menunaikan solat fardu Jumaat.

Namun, ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.


Sebelum ini, saya pernah mengulas berkaitan hal itu melalui rancangan ‘Tanyalah Ustaz TV9’ dan juga wawancara bersama sebuah akhbar arus perdana.

Namun, melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya, satu penulisan yang khusus berkaitan hal berkenaan adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan.

Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga terbabit berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang mahu menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru, setiap urus niaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.

Ia tidak termasuk di dalam perbincangan ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat Jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada lelaki, sama ada peniaga, pembeli atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh selain tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah SWT dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui,”.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun sudah ijma’ di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua. (Bidayatul Mujtahid, 4/169: Tafsir Ibn Kathir, 4/368).

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar as-Siddiq RA dan Umar RA hanyalah sekali saja iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.

Di zaman pemerintahan khalifah Uthman RA, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Hasil daripada kewujudan lebih daripada satu azan selepas zaman Uthman RA, ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya.

Mazhab Maliki dan Hambali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar. Ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat al-Quran, semasa hayat baginda Nabi Muhammad SAW (Rujuk Al-Iqna', Al-Khatib, 1/151: Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/39).

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan: “Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi Muhammad SAW (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24).

Namun begitu, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka berpendapat pengharaman bermula sejak daripada azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari berkenaan (Syarh Fath Al-Qadir, 2/69).

Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut: “Ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan kedua (Tafsir Ibn Kathir, 4/367).



BERDOSA SAJA ATAU AKAD JUGA BATAL?



Walaupun berjual beli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas penjual dan pembeli namun adakah akad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan itu dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain.

Jika akad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperoleh oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli terhadap barangan beliannya.

Jika itu berlaku, bererti kedua-dua pihak menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh subahat dan bermasalah.

Dalam hal ini, ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya akad. Ulama terbahagi kepada dua kumpulan:

1- Akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

2- Akad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hambali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli sudah semuanya dipenuhi kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan saja. Atas kesalahan itu, dosa saja ditanggung tanpa pembatalan akad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana saja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan supaya dapat dinasihatkan kepada peniaga dan semua Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan terbabit. Kita bimbang, akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

1- Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

2- Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

3- Mengetahui berkenaan hukum haram itu dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap supaya khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar dan bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua.

Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid bagi menyedarkan mereka yang kurang faham dengannya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut