Kontroversi perceraiannya dengan isteri, Maia, anggota kumpulan Ratu, dan dikaitkan dengan skandal kawan baik Maia yang sama-sama menganggotai Ratu, Mulan Jameela, membuatkan orang menyangka minatnya terhadap lagu dari filem Madu Tiga itu bertitik tolak daripada dirinya yang dikatakan berkahwin dengan Mulan.
Bagaimanapun, bapa tiga anak ini lebih suka mengunci mulutnya untuk menjelaskan persoalan itu.
Katanya, apa yang penting dia tertarik dengan lagu berkenaan sewaktu pertama kali mendengarnya di satu butik di Plaza Sungei Wang, dua tahun lalu.
Lagu itu menjadi single pertama album barunya, Muhammad Dhani dan The Swinger.
Album memuatkan 10 lagu itu mengangkat martabat lagu runut nyanyian Allahyarham dalam filem Madu Tiga dan diberi nafas baru rentak swing, diiringi muzik alunan trumpet, saksofon dan trombone pemuzik profesional Australia.
Ternyata walaupun sudah lebih 30 tahun P Ramlee meninggalkan persada perfileman atau seni suara tanah air, lagu sentuhan karya seniman agung itu terus mendapat sambutan.
Ia menjadi lagu tema daripada Extended Play (EP) runut bunyi filem Madu Tiga yang diterbitkan pada 1963, lakonan P Ramlee, Zaharah Agus, Ahmad Nisfu, Sarimah dan Jah Mahadi.
Kata Ahmad Dhani, dia pilih lagu Madu Tiga kerana mempunyai lirik paling jujur.
Kebetulan dia suka rentak muzik swing sejak dulu dan sudah lama mengimpikan mahu menerbitkan album dengan irama swing.
"Dengan lirik berunsur jenaka, lagu itu nyata memang sesuai dengan suara saya. Memandangkan ia kurang diketahui peminat, saya mahu perkenalkan swing kepada masyarakat Indonesia.