KUANTAN – Seorang wanita ditemui mati di atas katil rumahnya dipercayai dibunuh selepas disamun di Kampung Sungai Isap di sini di antara pukul 2 dan 4 pagi semalam.
Fatimah Zaharah Sulong, 53, ditemui oleh suaminya, Sallehuddin Mohd. Yatim, 59, dalam keadaan tertiarap dan kepalanya ditindih dengan sebiji bantal.
Menurut Sallehuddin, dia pulang ke rumah dari restorannya di Kemunting iaitu 800 meter dari situ kerana tidak sedap hati apabila isterinya tidak menjawab panggilan telefon pada pukul 3 pagi.
“Sebaik tiba di rumah, saya dapati dia tertiarap di atas katil dan ada bantal di belakang kepalanya.
“Saya cuba kejutkan dia tetapi tiada respon lalu saya terus hubungi saudara terdekat dan polis,” jelas Sallehuddin ketika ditemui di rumahnya semalam.