KUANTAN - Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang dekat sini memfailkan saman malu terhadap pengetua sekolah terbabit membabitkan tuntutan RM228,000 dalam Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.
Saman yang difailkan Rozilah Abdullah, 37, pada 12 Ogos lalu melalui peguamnya, Balkhis Alias disebut di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.
Rozilah dalam tuntutannya itu mendakwa berlaku ketidakadilan dan penindasan dalam laporan prestasi yang dikeluarkan oleh pengetua wanita terbabit sehingga menjejaskan reputasinya yang telah berkhidmat sebagai guru sejak 11 tahun lalu.
Dia mendakwa mengalami tekanan perasaan selepas mengetahui laporan prestasi beliau diketahui pihak lain sebelum dia menerimanya.
Dalam tuntutan itu juga, dia mendakwa menerima surat menyatakan tiada pergerakan gaji beliau bagi 2009 ekoran laporan prestasi yang dinilai sebagi buruk dikeluarkan pengetua berkenaan.
Malah dakwanya, ketuanya itu juga turut memalukannya di hadapan guru lain selain menuduh dia sengaja enggan mematuhi perintah.
Dia juga mendakwa tidak diberi peluang membela diri kerana tidak pernah dipanggil dalam sebarang penyiasatan atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh pengetua sekolah itu.
Ekoran tersebarnya laporan prestasinya yang ’buruk’ itu, dia turut mengalami penyakit tekanan darah rendah selain perasaan malu.:
Malah kerana laporan itu juga, dia mengalami kerosakan teruk dari segi kebolehpercayaan, kewibawaan dan reputasinya sebagai seorang pendidik turut dipandang rendah.
Justeru itu, dia yang datang ke mahkamah semalam menuntut keadilan selain memulihkan reputasinya.:
Kes terbabit akan disebut semula 5 November untuk Pejabat Peguam Negara menfailkan pem:belaan.