Letterman ada bilik tidur rahsia di studio
PENGACARA terkenal, David Letterman didakwa memiliki kamar tidur rahsia di studio Late Show yang digelar ‘the bunker’ (kubu) oleh kakitangan rancangan itu.
Mereka turut mendakwa hanya beberapa kakitangan wanita terpilih sahaja yang dibenar masuk ke bilik itu.
Minggu lalu, Letterman mengaku mengadakan hubungan sulit dengan beberapa kakitangan wanita selepas kes peras ugut RM7 juta terhadapnya diketahui umum.
Kini kakitangan lain mendakwa Letterman sudah lama memiliki kamar tidur rahsia itu di Panggung Ed Sullivan, New York yang menjadi studio rakaman rancangan itu.
“Letterman tak perlu keluar kerana kamar tidurnya itu mewah. Majoriti kakitangan rancangan ini tidak dibenar masuk. Tiada siapa akan sedar atau berasa ganjil jika Letterman memiliki hubungan sulit dengan pekerja wanita rancangan ini,” kata seorang kakitangan lelaki.
Sumber turut menyatakan, pejabat Letterman di panggung itu turut memiliki ruang tetamu.
Bagaimanapun, jurucakap syarikat produksi Letterman, Worldwide Pants menafikan dakwaan itu.
Sumber rapat pula mendakwa Letterman hanya tidur di kerusi lipat pada setiap Isnin, selepas beliau tiba di panggung itu daripada rumahnya di North Salem, New York pada kira-kira jam 2 atau 3 pagi.
Letterman didakwa tinggal di apartmennya di TriBeCa pada hari lain sepanjang minggu penggambaran tapi beliau turut terkenal di kalangan pekerja kerana sering bekerja di waktu-waktu lewat malam.
Sumber mendakwa meskipun rakaman rancangannya selesai jam 7 malam, Letterman akan berada di pejabatnya untuk menonton siaran rancangan itu.
“Beliau tidak berkerja pada waktu pejabat seperti orang lain. Kerjanya bukan antara 9 pagi hingga 5 petang,” kata sumber itu.
Kakitangan wanita bagaimanapun kerap berjaya dalam syarikat Letterman.
“Letterman tidak lokek menaikkan pangkat kakitangan wanita. Tiga daripada lima penerbit eksekutifnya adalah wanita dan mereka semua sudah bersamanya sejak lebih 20 tahun lalu,” kata seorang pegawai kanan.
Satu lagi sumber mendakwa rancangannya mesra wanita dan ramai pekerjanya yang hebat adalah wanita.
Bagi pekerja wanita berpangkat rendah, mereka akan diminta membeli-belah menjelang Krismas atau menyediakan keretanya di pintu masuk panggung.
Kakitangan bagaimanapun tidak terkejut jika hubungan majikan dan pekerja terjalin lebih intim.
“Apapun yang pasti tiada pihak mendakwa beliau mencabul mereka. Letterman sentiasa gigih berkerja dan saya tidak terkejut jika sesuatu berlaku di tempat kerja,” kata kakitangan lain.
Sebelum kes peras ugut yang dilakukan produser rancangan 48 Hours Mystery, Robert 'Joe' Halderman, 51, diketahui umum, Letterman sentiasa merahsiakan kehidupan peribadinya bersama dengan anak lelaki berusia lima tahun dan isteri, Regina Lasko.
Beliau turut mengaku mengadakan hubungan sulit dengan pekerja wanita, seorang daripadanya dikenal pasti bekas pembantu peribadi, Stephanie Birkitt, 34 yang pernah tinggal serumah dengan Halderman di Norwalk, Connecticut.
Halderman didakwa mengancam mendedahkan hubungan sulit Letterman di layar perak, bersama dengan e-mel dan diary seks yang disimpan Stephanie.