Barah terjadi hasil dari pertumbuhan dan percambahan sel tubuh, limpa dan darah yang tidak terkawal. Ia sangat merbahaya bukan kerana ia boleh menjangkiti orang lain, tetapi ia lambat laun akan membunuh mangsanya. Barah merupakan salah satu dari punca utama kematian manusia.
Pertumbuhan Sel Yang Normal
Di dalam tubuh manusia terdapat berbagai jenis tisu seperti kulit, paru-paru, hati, limpa dan yang lain. Tisu-tisu tersebut terbina dari berjuta-juta sel yang teratur dan terkawal, dengan setiap tisu mempunyai struktur sel yang tersendiri. Rupa bentuk setiap sel berbeza dari satu organ ke satu organ yang lain.
Sel-sel ini akan mati dan diganti melalui proses pembahagian sel. Proses ini dikawal begitu rapi dan merupakan proses biasa yang berlaku secara semulajadi. Bilangan sel yang diganti adalah sama jumlahnya dengan sel yang telah mati. Jika berlaku luka, penghasilan sel akan meningkat sehingga luka itu sembuh dan pembahagian sel menjadi kembali seperti biasa selepas itu.
Sel-sel Barah
Sel-sel barah membahagi dan bercambah mengikut kadar tersendiri tanpa boleh dikawal. Proses itu berterusan sehingga rawatan diberi. Percambahan yang begitu cepat menjadi ketumbuhan. Sel-sel ini juga tidak terkawal secara teratur sehingga tisu-tisu yang terbentuk dari sel-sel ini tidak langsung menyerupai tisu-tisu yang normal. Bahan makanan diserapi melalui sel-sel yang normal, tetapi sel-sel barah ini tidak berfungsi langsung.
Jenis-jenis Barah
Barah dikelaskan mengikut dari mana datangnya sel-sel barah ini iaitu :
* Karsinoma - dari permukaan tubuh seperti kulit, perut, pundi air kencing, rahim, prostat, usus kecil dan besar, dubur, buah dada dan salur benih.
* Sarkoma - dari struktur dalam tubuh seperti tulang, otot-otot dan lemak.
* Lymphoma - dari kelenjar limpa.
* Leukemia - dari sel darah putih.
Ketumbuhan
Tidak semua ketumbuhan itu barah, ada yang 'benign'. Jenis ini tidak merbahaya kecuali apabila mengganggu fungsi organ yang terlibat. Ketumbuhan 'benign' tidak merebak, ia tumbuh di dalam kelongsongnya dan dalam tisu-tisu yang normal. Ketumbuhan 'malignant' merbahaya kerana ia terdiri dari sel-sel barah yang menceroboh atau tumbuh dalam tisu-tisu normal. Bukan itu sahaja, sel-sel dari ketumbuhan ini malahan bercerai dan merebak ke seluruh anggota mangsanya hingga mengakibatkan kematian mangsanya.
Ketumbuhan 'benign' kelihatan seakan-akan tisu normal, percambahannya terkawal dan perubahannya lebih perlahan. Tetapi jika ketumbuhan ini berlaku pada organ yang penting seperti paru-paru, kesihatan mangsanya akan terjejas. Ketumbuhan 'benign' perlu dikeluarkan melalui pembedahan.
Asal-usul Barah
Sel barah bermula dari sel-sel normal dalam tubuh. Hanya satu sel sahaja diperlukan untuk mencetus ketumbuhan barah. Proses perubahan dari sel normal menjadi sel barah berlaku secara sangat perlahan dan berperingkat-peringkat serta memakan masa bertahun-tahun. Pada setiap peringkat, sel-sel ini menjadi bertambah tidak normal bentuknya dan kian kurang terkawal.
Proses ini tidak menimbulkan apa-apa tanda atau kesakitan sehinggalah barah terjadi. Tetapi dalam sesetengah keadaan, seperti barah pangkal rahim, perubahan ini boleh dikesan melalui ujian seperti pap smear.
Cara Barah Membiak
Sel barah berupaya merebak hingga menjadikannya sangat merbahaya. Sel ini merebak dengan teratur bermula dari tisu-tisu di sekelilingnya. Kemudian sel-sel ini bercerai dan terkandung dalam cairan tisu tubuh, seterusnya masuk ke dalam saluran lymphatik dan ke dalam kelenjar-kelenjarnya. Dari sini sel barah menembus masuk ke dalam saluran darah.
Fungsi kelenjar limpa adalah menapis keluar sel-sel yang mati dan jangkitan. Sel barah lazimnya terperangkap di dalam kelenjar yang paling hampir dengan tempat barah terjadi. Sel-sel ini akan mati, tetapi lambat laun satu darinya akan mula bercambah dan mengakibatkan ketumbuhan kedua. Dari sini sel-sel itu akan merebak ke dalam saluran darah dan dibawa keseluruh tubuh mangsanya.
Mengapa Barah Terjadi?
Sebab terjadinya barah tidak diketahui, tetapi barah didapati biasa terjadi apabila seseorang itu sudah meningkat tua. Bertambahnya bilangan pesakit barah adalah disebabkan dewasa ini kita hidup lebih lama dari dulu. Satu teori lain pula mengatakan bahawa tubuh kita memang mengeluarkan sel-sel yang tidak normal, tetapi biasanya ia boleh dimusnahkan secara semulajadi. Namun begitu terdapat pada mangsa barah, sebilangan sel yang berupaya untuk terus hidup hingga mengakibatkan barah.
Ada juga barah yang diwarisi seperti barah mata (retina). Barah buah dada juga dikatakan ada kaitan dengan warisan untuk sesetengah mangsa.
Kebanyakan barah dipercayai berlaku akibat dari kemasukan sesuatu dari persekitaran seperti yang terbukti dari radiasi, kimia tertentu atau bahan-bahan lain. Cahaya ultra-ungu dari matahari juga boleh mengakibatkan barah. Bahan-bahan yang dimasukkan dalam makanan, ubat-ubatan dan tembakau juga boleh mengakibatkan barah.
Siapa Penghidap Barah?
Kanak-kanak juga boleh menghidapi barah, iaitu lazimnya barah leukemia. Leukemia kerap mencari mangsa yang berumur antara 3 hingga 14 tahun. Kaum lelaki pula mengalami barah paru-paru, prostat, usus besar, perut dan pankreas. Kaum wanita yang malang dihinggapi barah buah dada, pangkal rahim, rahim, usus besar, paru-paru dan ovari.
Mengesan Barah
Jika barah dapat dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke bahagian lain tubuh, rawatannya lebih mudah dan penyembuhan lebih mudah tercapai. Oleh itu pengdiagnosan yang seawal-awalnya sangat penting. Ketakutan kita pada penyakit barah ada kalanya melengahkan kita dari mendapat kepastian ini.
Barah boleh dikesan dengan berbagai cara seperti :
* Sinar X dan imbasan Biopsi atau mengambil secebis tisu dan diuji
* Ujian cairan/lelehan dari tubuh seperti air liur dan lelehan pangkal rahim
* Pemeriksaan darah untuk menguji fungsi hati dan tulang
* Isotope - bahan radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh, kemudian dikesan melalui sinar X
* Termografi - mengesan suhu pada setiap bahagian yang terlibat. Sel barah lebih tinggi suhunya dari sel normal
Setelah dikesan dan diketahui jenis serta peringkat barah yang dihidapi, rawatan yang tepat dapat dimulakan. Tujuan rawatan ialah untuk memusnahkan semua sel barah.
Cara Merawat Barah
Doktor akan merawat mangsa barah dengan cara yang sesuai dengan jenis barah dan peringkatnya.
Antara rawatan yang diberi ialah:
* Pembedahan untuk membuang keseluruhan ketumbuhan barah termasuk kawasan sekelilingnya serta kelenjar-kelenjar limpa yang berdekatan. Pembinaan semula dilakukan jika perlu seperti 'colostomy', iaitu membina salur najis di atas perut apabila usus dan dubur telah dibuang
* Menggunakan radioterapi untuk memusnahkan sel-sel barah. Radiasi memusnahkan bahan genetik sel barah supaya ia tidak berupaya bercambah lagi. Tetapi radiasi juga turut memusnahkan sel yang normal. Proses pemulihan sel normal akan berlaku selepas itu. Selalunya dos radiasi yang selamat diberikan. Ia diberikan setiap hari selama 4 hingga 6 minggu. Kesan sampingan yang dialami ialah gatal kulit. Ini boleh dikurangkan dengan tidak membasuhnya, kemudian sapukan kerim. Kelesuan dan cirit-birit akan berlaku jika rawatan dibuat di bahagian perut. Rambut akan gugur jika rawatan dibuat di kawasan kepala, tetapi rambut akan tumbuh semula dalam tempoh 6 bulan. Kesembuhan untuk ketumbuhan setempat seperti di leher dan kepala kadang-kadang boleh dicapai dengan radiasi. Radiasi dilakukan selepas pembedahan untuk meningkatkan kesembuhan seperti pada buah dada. Radiasi juga boleh melegakan gejala-gejala barah terutamanya rasa sakit. Radiasi kadang-kadang dimasukkan sebagai susuk ke dalam mulut, lidah, rahim untuk mengurangkan pemusnahan sel-sel normal.
* Kemoterapi iaitu dengan ubat-ubatan untuk memusnahkan kandungan genetik sel barah. Rawatan cara ini diberi bila barah telah merebak. Pemusnahan kandungan genetik mengakibatkan percambahan sel barah tidak sempurna, tetapi ia turut melibatkan percambahan sel normal. Kesan sampingan rawatan ini adalah keguguran rambut, loya dan pengurangan sel darah. Ini kerana sel di bahagian kulit, tulang sumsum dan perut bercambah dengan pesatnya.
* Terapi hormon diberi pada barah yang bergantung kepada hormon untuk bercambah. Hormon penghalang pengeluaran hormon yang biasa diberi supaya sel barah ini berhenti bercambah.
Rawatan kombinasi juga diberi untuk barah seperti yang dihidapi oleh kanak-kanak. Pembedahan diikuti dengan radioterapi kemudian diikuti dengan ubat-ubatan. Dalam kes barah leukemia dan anemia tertentu, radiasi seluruh tubuh dilakukan sebelum pemindahan tulang sumsum dilaksanakan.
Kebanyakan jenis barah boleh diatasi jika dikesan pada peringkat awal. Oleh itu adalah penting untuk membuat ujian dan mengesannya di peringkat awal supaya rawatan serta merta dapat diberikan. Selepas sembuh, rawatan susulan adalah sangat penting terutamanya pemeriksaan di bahagian yang terlibat. Sekiranya mangsa barah boleh hidup dan sihat sehingga selepas 5 tahun, bolehlah berharap bahawa dia tidak akan lagi dihingapi barah.
Cara Mengelak Barah
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak berlakunya barah seperti:
* Elakkan dari terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus
* Elakkan menghisap rokok
* Elakkan menjalani sinar X kecuali jika benar-benar perlu
* Kurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi
* Lebihkan makanan yang mengandungi serabut yang tinggi
* Kurangkan makan bahan-bahan manis
* Tinggal di kawasan yang tidak tercemar udara
* Pilih pekerjaan yang tidak mendedahkan diri kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan barah
Tujuh Tanda-tanda Barah
1] Perubahan tabii sistem pembuangan najis dan perkencingan
2] Kudis yang tidak boleh sembuh
3] Perdarahan atau lendir yang luar biasa
4] Ketumbuhan pada buah dada atau di tempat lain
5] Makanan tidak hadam atau kepayahan menelan
6] Perubahan ketara pada kutil atau tahi lalat
7] Batuk yang sentiasa ada atau serak suara
DI PETIK DARI HTTP://INFO KESIHATAN.BLOGSPOT.COM