NAMA Latiff Borgiba sudah begitu sinonim dengan
watak-watak antagonis. Menerusi filem-filem lakonannya, Latiff
sebenarnya pernah takut untuk berhadapan masyarakat kerana risau
dihentam hanya kerana peranan jahatnya.
Bertemu pelakon hebat ini, keadaannya nampak uzur namun masih mampu
mengukir senyuman. Sesekali beliau mengerling ke arah siaran tv yang
ketika itu menyiarkan filem Oh Fatimah lakonan AR Badul. Seperti
mengimbau kenangan berada di set pada era itu, Latif tersenyum sendiri.
Ditanya mengenai perasaannya melakonkan watak jahat, Latiff mengakui
pernah merasa takut pada saat mula-mula bergelar anak seni.
"Siapa tidak takut,kan... Berlakon jadi samseng, bergaduh dan siapa
tengok pasti tak puas hati. Tapi, saya cekalkan hati kerana tahu ini
semua periuk nasi saya sebagai anak seni.
"Walau apapun watak yang diberikan, saya cuba memberikan yang terbaik,"
katanya membuka bicara sewaktu bertemu di kediamannya baru-baru ini.
Ditambah ketika itu, penampilannya dengan bermisai tebal, berkulit
gelap serta mata terjegil dalam karakter yang dipegangnya, membuatkan
aktor ini mudah diingati.
Dengan sisi karakternya yang serius, Latiff atau nama sebenarnya Abdul
Latiff TK Gomu Kakkah sudah lebih 60 tahun menjadi pelakon.
Memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia 18 tahun, begitu muda untuknya mengenal asam garam dunia lakonan.
Namun, kerana minat mendalam, Latiff melebarkan sayapnya sebagai pelakon layar perak selepas aktif dengan kelab teaternya.
“Saya bermula dengan teater bersama-sama kumpulan teater Kg Pandan,
Kuala Lumpur. Teater pertama lakonan saya ‘Tiada Jalan Lain’ mendapat
perhatian dan kumpulan kami dijemput menyertai bengkel lakonan di Morib,
Selangor.
“Dalam ramai-ramai tu, saya antara tujuh terpilih untuk menyertai
rombongan ke Sarawak untuk belajar selok-belok berlakon di sana.
Pelbagai pengalaman saya dapat. Bermula daripada situlah, saya
diperkenalkan dengan pengarah Allahyarham S Kadarisman," katanya.
Ditanya mengenai namanya, Pak Latif memberitahu, nama itu hanyalah nama komersialnya yang diberikan oleh pengarah.
“Nama Borgiba tu S Kadarisman yang bagi. Dalam filem pertama saya kalau
tidak silap, dia panggil saya Latiff Borgiba. Apabila saya katakan,
saya nak guna nama sebenar, beliau kata tak boleh. Saya tanya, Borgiba
tu apa maknanya, beliau kata tu nama adalah daripada keturunan Habib
Borgiba iaitu seorang kulit hitam dari Afrika yang terkenal warak dan
juga tokoh agama terkenal. Saya turutkan sahaja kerana waktu itu masih
baharu.
“Lama-kelamaan, nama itu dah ‘melekat’, pergi mana-mana orang panggil Latiff Borgiba, sampailah ke hari ini,” katanya.
Meminati dunia seni lakonan sejak kecil lagi, Latiff mengakui mengikut langkah ibunya.
“Ibu saya berdarah bangsawan, darah seni itu kuat mengalir dalam diri saya walaupun tanpa ada ilmu khusus.
Aktor berusia 75 tahun ini mengakui serasi dengan setiap tawaran
berlakon walaupun mengakui berdepan pandangan masyarakat terhadap setiap
watak yang dipegang.
“Sepanjang berlakon, hanya beberapa kali sahaja saya diberi peranan
yang baik-baik. Pada mulanya saya takut juga bila selalu jadi jahat.
“Apakah nasib saya akan sama dengan sahabat saya Allahyarham A Rahim yang sering dikecam apabila berdepan masyarakat.
“Tapi, Alhamdulillah, saya tidak pernah diherdik, dibenci mahupun
dicaci hanya kerana watak-watak saya itu. Kerana itu, saya tidak kisah
setiap kali diberikan watak jahat,” katanya.
Tiada asas silat
Bapa kepada 16 anak, 47 cucu ini berkata, penglibatan dalam dunia
lakonan sebenarnya mengajarnya banyak perkara terutama seni
mempertahankan diri.
“Percaya atau tidak, saya tidak ada asas dalam silat. Saya hanya berlatih di luar set sebelum bermulanya penggambaran.
“Saya cuma pernah belajar tomoi, itu pun masa saya kecil-kecil dahulu
kerana ibu saya berasal dari Thailand. Tetapi, daripada suka-suka
berlatih, ia menjadi pula. Orang kata, bunga silat saya cantik,”
katanya.
Beliau beruntung kerana pengarah dan krew filem banyak memberi tunjuk ajar terutamanya S Kadarisman.
“Itulah guru silat sebenar. Saya belajar sikit-sikit sahaja. Tak ada
pergi kelas pun. Cuma apabila sesi latihan, kami buat betul-betul dan
ingat setiap pergerakan.
“Saya anggap apa yang ada pada saya ketika itu adalah semula jadi.
Mungkin kerana komitmen pada kerja membuatkan kita bersungguh-sungguh,”
katanya yang tegar dengan imej berjanggut melepasi dagu.
Berdarah kacukan Arab, India dan Thailand, Latiff pernah membintangi
filem Anakku Suamiku, Dang Lenggang, Anak Setan dan Ribut Di Hujung
Senja.
Tidak hanya di layar perak, Latiff turut terkenal dengan watak pendekar
bagi drama bersiri yang popular sewaktu ketika dahulu. Drama seperti
Musang Hitam antara drama yang berjaya meletakkan Latiff antara pelakon
yang tinggi ilmu silatnya.
Menginjak usianya, Latiff terus diburu untuk membawakan watak lebih islamik.
Tahun ini merupakan tahun kedua Latiff tidak lagi berlakon.
"Ada lagi tawaran yang datang, tapi kerana faktor kesihatan, saya
terpaksa tolak. Sekarang dah tak jadi jahat lagi. Kebanyakan watak semua
yang baik-baik sahaja. Tak ada adegan jerit pun, cuma saya ni semput.
Saya tidak mahu menyusahkan orang lain hanya kerana saya, lebih baik
tidak berlakon lagi. Walaupun semangat tu ada untuk berlakon, tetapi
saya tahu, saya tidak mampu lagi.
"Kali terakhir saya berlakon untuk filem Penanggal dua tahun lalu.
Selepas daripada itu, saya habiskan masa di rumah sahaja. Nak keluar
berjalan pun tak boleh," katanya yang berharap dapat menunaikan Umrah.
Latif berharap, jika diberikan kesihatan yang baik, dia mahu mengerjakan ibadah Umrah ataupun menunaikan Haji.
"Hanya itu yang saya doa... saya mahu mengerjakan umrah... doakan saya sihat ye," katanya.