Saleem bahagiakan keluarga
|
|
SEKAPUR sirih seulas pinang, salam dihulur khabar ditanya. Mukadimah pertemuan bersama pelantun lagu popular, Suci Dalam Debu, Saleem, 49, dimulakan dengan perkembangan terbaru album Diari Etnik Saleem.
Memilih konsep etnik dalam lenggok irama Melayu asli, ujar Saleem, kecenderungan mendendangkan lagu-lagu Melayu asli bukan sengaja dizahirkan tanpa alasan.
Ia bermula lama dahulu, sejak belum bergelar vokalis untuk kumpulan Iklim lagi.
Keterujaan mempromosikan album yang mengandungi 12 lagu baru termasuk Ranting Angin dan Zikir Jiwa itu jelas membuktikan semangatnya untuk terus mewarnai dunia muzik tanah air.
Benarlah kata orang, hidup ini tak mati dek keji tak hidup dek puji.
Saleem yang pernah terjebak dengan 'penyakit' yang hampir membunuh kariernya kini sedang mara untuk membuktikan kecintaannya hanya pada muzik.
"Saya percaya lagu-lagu begitu ada tempat di hati peminat," katanya penuh pengharapan.
Sedikit tentang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, tahun ini, Saleem akan beraya di Johor Bahru bersama isteri, Juriah Bachok dan anak, Amirul Mukminin, 6 tahun serta dua anak tirinya, Khairul Nizam dan Iera Fakhira.
Dia antara pemilik suara emas yang masih mengabdikan diri dengan nyanyian.
Membelek lembaran kisah penyanyi kelahiran Terengganu ini, dia juga pernah terjerumus ke lembah hitam.
"Kehidupan saya sekarang Alhamdulillah, lebih mengenali erti kehidupan. Dulu saya gagal, lemah dan bodoh.
"Tapi syukurlah, sejak isteri selalu ada di samping menjadi penasihat dan pengurus, hidup saya jadi terkawal.
"Mula-mula memang tidak selesa tapi lama-kelamaan saya terbiasa.
"Saya sendiri tidak menyangka boleh selesa dengan cara begini," ujar Saleem sambil mendakwa sudah bertahun-tahun bebas sepenuhnya daripada dadah.
Mengaku cabaran paling sukar adalah menangani 'kerinduan' bertemu rakan-rakan lama yang dipengaruhi 'benda' yang sama, rasukan itu mahu dipulihkan kerana diri dikunci penuh oleh sang isteri.
"Dulu saya pernah risau, rasa benda itu yang memberi kekuatan, tapi sebenarnya tidak. Semua itu bergantung pada diri sendiri," katanya.
Meringkaskan perbualan, kalau boleh pintanya, jangan kisah silam yang hitam itu diulang-ulang.
Fokusnya kini kepada karier kerana ada keluarga yang harus ditanggung.