IPOH - Penjagaan bayi lelaki malang, Lee Chai Lim yang sebelum ini ditinggalkan di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh (PKKC) di sini setelah enggan diterima ibu bapanya kini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, selain mendapat penjagaan rapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semua keperluan bayi tersebut ditanggung kerajaan negeri.
"Punca kecacatan bayi berusia tiga minggu itu yang dilahirkan tanpa hidung dan mata, mulut tidak sempurna serta kaki dan tangan mengalami kecacatan dijangka diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.
"Andaian awal mengatakan kecacatan ini mungkin disebabkan oleh kromosom, namun kita perlu tunggu sehingga laporan perubatan selesai bagi menentukan rawatan lanjut yang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Chai Lim di Wad Kanak-Kanak hospital tersebut semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Chai Lim yang dilahirkan tanpa hidung dan mata, mulut tidak sempurna manakala kaki dan tangan mengalami kecacatan dihantar ke PKKC setelah ibu bapanya tidak dapat menerima kehadiran bayi sulung mereka.
Namun, nasib bayi tersebut mula mendapat pembelaan setelah diketahui Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Mah Hang Soon.
Hamidah berkata, kerajaan negeri juga menawarkan khidmat nasihat dan kaunseling percuma kepada ibu bapa Chai Lim yang dipercayai berasal dari Taiping.
Beliau percaya pasangan suami isteri tersebut bukan tidak menyayangi anak lelaki mereka tetapi bertindak meninggalkan bayi cacat berkenaan kerana masih dalam keadaan terkejut dan trauma.