KUALA KANGSAR - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Mohamed Afandi Amir, 38, pada pertengahan Oktober 2008 terhadap Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, bekas model sambilan yang kini menunggu hukuman sebat kerana kesalahan minum arak.
Hakim Syarie Burhanuddin Ismi Adam berkata, berdasarkan keterangan Kartika Sari Dewi selaku plaintif, Mohamed Afandi ada melakukan dua lafaz cerai yang jelas iaitu pada pertengahan Oktober 2008 dan 10 Februari 2009.
Berdasarkan keterangan dalam perbicaraan semalam, kedua-dua lafaz itu didapati adalah talak yang 'soreh' iaitu lafaz yang jelas dari segi makna dan pada kebiasaannya membawa erti talak kerana Mohamed Afandi selaku defendan secara jelas dan tanpa berselindung mengatakan dia menceraikan plaintif dengan sebutan 'aku ceraikan kau'.
Bagaimanapun, Burhanuddin memberitahu, mahkamah hanya mengambil kira lafaz cerai yang pertama yang dibuat pada pertengahan Oktober 2008 pada pukul 1 petang sebagai perceraian yang sah dan selepas Kartika tamat edah pada 17 Disember tahun sama, kedua-dua mereka bukan lagi pasangan suami isteri.