BERHATI-HATI DENGAN JURURAWAT PEMBUNUH


TUGAS jururawat adalah menjaga dan memantau tahap kesihatan pesakit serta membantu mereka sembuh daripada penyakit. Namun Kristen H Gilbert, 42, menggunakan tugasnya bagi mempercepatkan proses kematian pesakit semata-mata untuk pulang awal dan memadu asmara dengan kekasihnya.

Disebabkan itu, Kristen dikenali sebagai ‘Malaikat Maut’ oleh rakan setugasnya apabila mengakhiri penderitaan ramai pesakit di bawah jagaannya dengan jalan paling singkat iaitu mencabut nyawa.


Misteri kematian pesakit mula menyelubungi Veterans Administration (VA) Hospital Northampton sekitar 1995 apabila empat kematian di Wad C dicatat dalam tempoh empat bulan walaupun pesakit yang mendapat rawatan mulanya disahkan tidak kritikal dan tidak sepatutnya mati.

Setiap kali hasil autopsi bedah siasat dilakukan ke atas mayat pesakit mendapati mereka mati disebabkan masalah sama iaitu serangan jantung.

Lebih membingungkan pakar, semua pesakit mati secara mengejut itu adalah lelaki dan ketika mula dimasukkan ke hospital, mereka disahkan menghidap penyakit lain serta mempunyai peluang tinggi untuk sembuh.

Ada kakitangan hospital mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan memaklumkan pihak berkuasa kemungkinan ada pembunuh di hospital terbabit.

Bagi merungkai misteri serta menyiasat kesahihan dakwaan itu, ejen khas, Steve Plante, ditugaskan menyiasat setiap kes kematian yang berlaku dan hasilnya mendapati empat pesakit mati ketika di bawah jagaan Kristen.

Bukan setakat dalam pengawasannya, malah rekod hospital juga mendapati Kristen orang terakhir bersendirian di sisi pesakit sebelum menemui ajal.

Kristen akan menekan butang kecemasan pesakit di Wad C dan apabila kakitangan kecemasan tiba di bilik pesakit, mereka mendapati Kristen orang paling sibuk berjuang menyelamatkan pesakit yang ketika itu dalam keadaan nazak.

Selepas disahkan mati, Kristen akan segera berkemas dan memohon pulang awal dengan alasan tiada pesakit lain yang memerlukan kawalan serta perhatian lanjutan selain sedih dengan apa yang berlaku.

Siasatan hampir sebulan itu kemudian membawa kepada satu penemuan pelik apabila Plante mendapati, sejak 1991 ada beratus-ratus kes kematian disebabkan punca sama dan bermula tahun itu Kristen mula berkhidmat di VA Hospital Northampton.

Hampir kebanyakan kes kematian disebabkan masalah jantung, sedangkan ketika mula mendaftar masuk pesakit disahkan menghidap penyakit lain.

“Daripada 350 kes kematian dicatatkan dalam laporan sejak 1991, hampir separuh mempunyai corak kematian sama dan kami percaya memang wujud sesuatu yang tidak kena.

“Bagaimanapun rekod dari 1991 hingga 1995 tiada maklumat terperinci mengenai jururawat bertugas di sisi pesakit ketika kali terakhir menghembuskan nafas dan ini menyukarkan mengesan suspek, termasuk mengaitkan kes ini dengan Kristen,” katanya.

Menyedari dirinya disiasat, Kristen mereka satu lakonan berkesan apabila menjerit seperti terkena histeria sebelum memaklumkan dirinya diserang pesakit, menyebabkan pihak hospital memberi cuti khas kepadanya bagi meredakan emosi sedangkan tujuan sebenarnya mengelak disiasat.

Apabila bertugas semula, Kristen turut membuat satu laporan palsu kepada pihak pengurusan hospital dia menerima panggilan daripada orang tidak dikenali yang menyatakan ada bom di hospital, sedangkan waktu itu sepatutnya dia disoal siasat.

Lakonan berkesannya berjaya menyebabkan proses soal siasat tertangguh dan selepas hampir dua bulan terlepas daripada siasatan Plante, sekali lagi Kristen memainkan tugasnya sebagai ‘Malaikat Maut’ apabila cuba membunuh veteran Perang Dunia Kedua, Angelo Vella, berusia 68 tahun (pada 1996) yang di bawah jagaannya.

Vella, perokok tegar dan pemabuk, yang dimasukkan ke Wad C Hospital Northampton pada awal 1996 akibat masalah berkaitan paru-paru. Bagaimanapun dia berjaya mengelak daripada mati di tangan Kristen.

Selepas terlantar di wad kecemasan beberapa minggu, baru tembelang Kristen terbongkar. Vella yang tersedar daripada koma memaklumkan jururawat bertauliah itu menyuntiknya dengan sejenis cecair sejurus sebelum dia mengalami kesakitan di dadanya.

“Pada hari itu semuanya kelihatan baik hinggalah jururawat itu menyuntik saya yang membuatkan seluruh badan sakit dan dada terasa hendak pecah.

“Ketika itu saya pasti suntikan itu bukan ubat dan saya berdoa supaya diselamatkan sebelum semuanya kelihatan kabur,” katanya.

Bagi Vella, sukar untuknya menerima kenyataan jururawat yang sepatutnya menjaga dan memantau kesihatan pesakit boleh menjadi pembunuh paling berbahaya.

Disebabkan laporan Vella, Kristen akhirnya ditahan pihak berkuasa Northampton dan selama tempoh itu dia didakwa atas pelbagai pertuduhan dan cubaan membunuh, termasuk membuat laporan bom palsu.

Lebih 70 saksi dipanggil membuat kenyataan yang disokong oleh 200 helaian bukti kekejaman Kristen.

Kristen akhirnya mengaku menyuntik semua pesakitnya dengan ubat jenis ephinephrine, yang mampu membunuh jika berlebihan dos.

Motif sebenar pembunuhan tidak pernah diberitahu dan ada laporan mengatakan ia bagi membuktikan Kristen boleh menjadi ‘hero’ saat akhir untuk menyelamat nyawa pesakit yang tenat, selain memudahkannya pulang ke rumah untuk memadu asmara bersama kekasih.

Ia dikuatkan dengan kenyataan rakan sejawatnya yang mengatakan Kristen ada bertanya sama ada dia boleh pulang ke rumah lebih awal jika pesakit di bawahnya mati ketika mula berkhidmat di VA Hospital.

Walaupun banyak kematian dilaporkan akibat punca sama sejak 1991 hingga 1996, Kristen hanya disabit atas empat pertuduhan membunuh dan dua percubaan menyebabkan kematian.

Malah, dia seharusnya bersyukur apabila pada 2001, pihak juri mendapati dia bersalah terhadap tiga kesalahan membunuh kelas pertama yang sepatutnya membawa kepada hukuman maut, namun dia hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa diberi kebenaran untuk ada dalam pengawasan atau parol.

>Info

NAMA: Kristen H Gilbert

USIA: 42 tahun

LAHIR: 13 November 1967 di Fall River Massachusets, Amerika Syarikat

PEKERJAAN: Jururawat di Veterans Administration (VA) Hospital Northampton, Massachusets

FAKTA KES: Didakwa pada 2001 atas tuduhan membunuh selepas empat pesakit di bawah jagaannya mati secara tiba-tiba walaupun hasil pemeriksaan mendapati ia bukan berpunca daripada penyakit dialami mereka

STATUS KES: Kristen dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas bukti mensabitkannya dengan tiga kesalahan membunuh kelas pertama, satu kesalahan membunuh kelas kedua dan dua cubaan membunuh

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut