(gambar sekadar hiasan tiada kena mengena dengan artikel ini))
MINGGU lalu, kita didedahkan dengan sumber yang cukup banyak diambil daripada kumpulan hadis Rasulullah SAW bagi sesiapa saja bertanya daripada kitab mana, buku mana dan sumber mana dirujuk bagi hukuman sebat terhadap peminum arak.
Selain itu, ada diterangkan perbezaan tafsiran ulama berkaitan jumlah sebatan sebagai hukuman kepada pesalah terbabit.
BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?
Ia bergantung kepada mazhab mana yang diterima pakai oleh Mahkamah Syariah, hakim dan negara Malaysia.
Jika Hudud:
Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie, pesalah tidak boleh dielak daripada hukuman sebat tadi.
Ini kerana, hukuman sebat dikira sebagai hak Allah SWT. Hak-Nya perlu didahulukan daripada sekalian hak makhluk dan sesuatu itu, termasuk dalam hak Allah SWT apabila kemudaratannya meluas dan umum seperti zina, riba, murtad dan sebagainya.
Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.
Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.
Jika Ta'zir:
Jika kesalahan itu dianggap daripada jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, seorang yang lemah, tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.
Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.
SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?
Pertama:
Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah SWT, tidak layak manusia yang hina untuk mempersoalkan mengenai keadilan, kerana Dia sentiasa adil walau menghumban seseorang manusia ke neraka-Nya.
Allah SWT tetap adil walau Dialah yang menyesatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain.
Kerana Apa adil? Kerana piawaian adil Allah SWT tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan-Nya adalah kerana Dia yang mencipta kita dan Dia berhak untuk menentukan apa saja yang diingini-Nya.
Jika kita merasakan Allah SWT tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu berkenaan perlu memulangkan nyawa yang Dia berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan-Nya ke sebuah alam ciptaan sendiri.
Kedua:
Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang.
Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kasihan dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.
Hasilnya, pelbagai disiplin sebatan ditentukan dalam hukum Islam iaitu:
1- Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.
2- Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana saja.
3- Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tangannya melebihi paras ketiaknya atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul. Pukulan pula tidak terlalu menyakitkan selain tidak pula terlalu perlahan. Yang diangkat adalah sikunya saja dan bukan lengan.
4- Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.
Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian, guru sekolah, ibu bapa, suami, yang memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.
Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.
Ketiga:
Sejauh mana pula adilnya orang luar mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?
Bukankah hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan daripada kedua-dua pihak, mendengar pandangan pembela dan pendakwa.
Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkritik sewenangnya keputusan hakim sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes.
Mungkin saja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.
Keempat:
Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan hak badan kehakiman daripada sebarang gangguan luar?
Kita kerap mendengar di mahkamah sivil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik secara terbuka sama ada di dalam mahkamah atau di luar kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah’.
Lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan Mahkamah Syariah?
Kelima:
Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik akal manusia semata-mata namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Jika dalam konteks kes ini, pesalah juga sudah bersedia menjalani hukuman itu sebagai satu proses kesedaran dirinya, adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman?