BANJIR BESAR DI MANILA,BANYAK MAYAT DITEMUI



MANILA 28 Sept. - Pasukan pencari dan penyelamat membawa naik lebih banyak mayat dari sungai-sungai yang dinaiki air sementara ribuan penduduk tidak mempunyai air minuman, makanan dan bekalan elektrik ketika angka kematian dalam bencana banjir terburuk di utara Filipina sejak lebih empat dekad lalu ini melonjak kepada 140 orang.


Pegawai menjangkakan angka tersebut akan meningkat ketika anggota penyelamat menyusuri kawasan perkampungan yang sukar dilalui disebabkan kereta dan serpihan-serpihan terapung sejak ribut tropika Ketsana melanda semalam, menyebabkan 32 orang hilang.




Pihak berkuasa sedang cuba mengesahkan kematian termasuk di beberapa bandar metropolitan Manila dan wilayah Rizal yang terletak berdekatan di mana seramai 99 orang dilaporkan terbunuh, kata Setiausaha Pertahanan, Gilbert Teodoro.


Ketika puluhan ribu penduduk memulakan kerja-kerja pembersihan dan ribut tropika tersebut meninggalkan Filipina, kerosakan yang dibawa bencana alam itu semakin jelas kelihatan dengan kawasan bersalut lumpur, jalan raya yang dipenuhi dengan kereta yang dihanyutkan air dan sejumlah besar penduduk kampung yang keputusan bekalan air bersih, makanan dan kuasa.


Kerajaan telah mengisytiharkan 'keadaan bencana' di Manila dan 25 wilayah yang dilanda ribut, termasuk kebanyakan daripadanya yang tidak dilanda banjir sebelum ini, membenarkan pegawai menggunakan dana kecemasan untuk bantuan dan menyelamat.

Teodoro berkata, lebih 450,000 orang terjejas akibat ribut ini, termasuk 115,000 penduduk yang ditempatkan di 200 buah sekolah, gereja dan beberapa pusat perlindungan lain. Askar, polis dan sukarelawan telah berjaya menyelamatkan 7,900 orang setakat ini.



Katanya, pegawai kebajikan kerajaan telah memulakan usaha membekalkan makanan, perubatan dan keperluan lain kepada mereka yang dipindahkan ke pusat perlindungan.

Presiden Gloria Macapagal Arroyo menyifatkan ribut dan banjir yang berlaku itu sebagai 'keadaan ekstrem yang menjejaskan keupayaan bertindak balas namun tidak memusnahkan Filipina'.

Walaupun Arroyo tidak meminta bantuan antarabangsa, jurucakap kerajaan, Anthony Golez menyatakan Filipina mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan.

Ketsana sedang menuju ke arah Vietnam hari ini dan berada pada kedudukan 600 kilometer dari barat kawasan utara Filipina.


Pegawai jabatan kaji cuaca, Nathaniel Cruz berkata, Filipina juga mungkin berisiko dilanda satu lagi taufan dengan tekanan tropika dan kawasan bertekanan rendah di Lautan Pasifik menuju ke arahnya. - AP/AFP

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut