Baju kurung Sharlinie pengubat rindu
“Setiap kali tibanya Aidilfitri, baju kurung pastinya menjadi pilihan Sharlinie, kelibatnya ketika bermain di halaman rumah pada hari raya pertama masih terbayang di mata, walaupun sudah lebih setahun dia hilang namun ingatan kami kepadanya tidak pernah pudar. Kami merasakan dia masih bersama,” itulah luahan hati Mohd Nashar Hussain, 30, bapa kepada Sharlinie, kanak-kanak yang masih dilaporkan hilang itu.
Mohd Nashar yang sudah setahun menunggu kepulangan anak bongsunya yang tiba-tiba hilang ketika pulang dari taman permainan di rumahnya dekat Taman Medan Petaling Jaya, 9 Januari tahun lalu, bagaimanapun masih menaruh harapan agar Aidilfitri kali ini dapat memberi satu keajaiban baginya.
Harapan agar Sharlinie pulang masih menggunung tinggi, biarpun ia mungkin sesuatu amat sukar untuk berlaku kecuali dengan kuasa Tuhan.
Daripada riak wajah Mohd Nashar yang ditemui Sinar Harian di rumah barunya di Kampung Padang Pulut, Dungun Terengganu, dia nampaknya belum putus harapan biarpun usaha menjejaki anak ketiganya itu mungkin semakin kurang dilakukan.
“Kini saya hanya pasrah terhadap apa berlaku, untuk mencarinya lagi adalah sesuatu di luar kemampuan kami sekeluarga. Bagaimanapun, jika dia masih hidup saya merayu kepada individu yang menyimpan anak saya agar kembalikan ke pangkuan kami.
“Jika Sharlinie pulang sebelum menjelangnya Aidilfitri, kami merasakan itulah hadiah yang paling berharga serta bermakna buat kami sekeluarga,” katanya.
Menyentuh mengenai kehidupan barunya, di sini, Mohd Nashar berkata, sejak berpindah ke kampung ibu bapanya awal Ramadan tahun lalu, dia mula melakukan kerja kampung bagi menampung perbelanjaan keluarganya.
“Saya terpaksa mengubah cara hidup, walaupun sudah berbelas tahun menetap di ibu kota namun kini saya terpaksa menjalani kehidupan sebagai orang kampung seperti mereka yang lain di sini. Jadi, pekerjaan paling sesuai adalah menternak kambing dan bertani.
“Walaupun pekerjaan ini agak asing bagi saya, tetapi demi membesarkan dua lagi anak yang masih bersekolah itu saya terpaksa lakukannya juga," kata bapa kepada tiga anak ini.
Menurutnya, apa yang merisaukannya sekarang adalah dia tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai jaminan hidup keluarganya.
Pendapatan diperoleh hasil menjual kambing tidak menentu, apatah lagi ia memerlukan perbelanjaan agak besar, terutama untuk membeli baka kambing yang baik.
“Walaupun saya ada menternak kambing tapi saya belum dapat menikmati apa-apa hasil daripada usaha saya, ia memakan masa. Jadi dalam tempoh berkenaan, ia menjadi kesukaran bagi saya kerana tiada sumber pendapatan,” kata Nashar.
Bagi ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 29, sebagai ibu, kesayuan pasti terasa apabila anak yang selama ini ditatang bagai minyak penuh itu tiba-tiba lenyap dalam hidupnya.
Ketupat, rendang kegemaran Sharlinie
Walaupun Suraya kini menunggu kelahiran cahaya mata keempat, namun ingatannya terhadap anak perempuannya itu tidak pernah pudar. Malah, Aidilfitri adalah hari amat bermakna baginya kerana setiap tahun hari bahagia itu pastinya disambut meriah dengan kehadiran Sharlinie.
“Biasanya pada pagi raya, dia akan bangun awal, pakai baju kurung, selepas itu dia akan menjamah hidangan, ketupat dan rendang pula menjadi kegemarannya sejak kecil lagi.
“Jadi setiap kali saya terpandang makanan tradisi itu, saya pasti teringat padanya,” kata Suraya yang masih kelihatan sugul atas kehilangan anaknya yang sudah lebih setahun berlalu itu.
Menurutnya, selagi tidak melihat jasad Sharlinie sama ada masih hidup ataupun mati, dia tetap percaya anaknya itu masih ada, cuma dia berpendapat Tuhan masih belum mengetemukan mereka dua beranak.
“Saya akan tetap menunggunya biarpun seribu tahun. Hati ini berkata dia masih ada, cuma ada orang yang menyimpannya," katanya.
Menyentuh mengenai usaha mencari Sharlinie, Suraya berkata, dia tidak pernah berputus asa, malah sudah menjejaki anaknya ke serata pelosok biarpun terpaksa menghabiskan semua duit simpanan mereka.
“Walaupun saya sudah merantau ke segenap ceruk untuk mencari Sharlinie, namun saya masih belum menemuinya. Bagaimanapun, saya akan tetap berusaha setakat termampu. Buat masa ini doa saya adalah sebahagian daripada ikhtiar dilakukan,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Ketika ditanya mengenai kehidupan barunya, Suraya berkata, dia kini banyak menumpukan perhatian terhadap dua anaknya yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pulut, Dungun.
“Kakak Sharlinie, Nurul Amirah, 12, kini menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sementara Sharlina, 9, pula sudah masuk Darjah Tiga di sekolah sama.
“Sebagai ibu, harapan saya adalah melihat anak berjaya dalam pelajaran, jadi saya akan memberikan dorongan kepadanya. Biarlah kejayaan mereka nanti dapat mengubat sedikit kedukaan saya atas kehilangan Sharlinie,” katanya.
Suraya yang bakal menimang cahaya mata keempat pada November nanti berkata, biarlah kisah yang menimpa anaknya itu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Saya harap ibu bapa lebih peka keselamatan anak, jangan ambil mudah dalam perkara ini. Apa yang berlaku pada kami sudah cukup untuk dijadikan pengajaran.
“Kepada individu yang mengambil anak kami pula, fikirkanlah perasaan ibu bapa mereka, bayangkan kesedihan, keperitan, penderitaan yang dialami di atas peristiwa kehilangan orang yang disayangi,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama diberikan semua pihak membantunya menjejaki Sharlinie yang masih belum ditemui itu.