POKYA CIKGU BERUK

POKYA CIKGU BERUK

GELAGAT seekor beruk sering mencuri tumpuan khalayak terutama golongan kanak-kanak kerana tingkah lakunya yang menghiburkan.

Kelincahannya itu turut disenaraikan dalam peribahasa Melayu, bagai beruk kena belacan yang menjelaskan seorang dalam keadaan panik atau terlalu aktif.

Walaupun menarik perhatian namun haiwan mamalia itu juga dikaitkan dengan sifat nakal, liar dan gemar menggigit malah pernah dilaporkan mencederakan manusia apabila terasa diancam.

Beruk dalam bahasa saintifik dikenali sebagai Macaca Nemestrina merupakan haiwan terlindung yang terdapat banyak di negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Kemboja.

Walaupun dikaitkan dengan tingkah laku yang nakal dan liar, namun haiwan yang melahir dan memelihara anaknya sendiri sehingga mampu berdikari itu mampu dijinakkan malah khidmatnya amat berbaloi untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Pusat latihan

Aktiviti yang menggunakan khidmat beruk itu cukup popular di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Bahkan boleh dikatakan terdapat tempat-tempat yang menyediakan sekolah untuk melatih beruk-beruk itu dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Kelebihan sekumpulan beruk yang mampu berkomunikasi dengan pelatihnya itu ditangani dengan baik oleh seorang penduduk kampung di Pulau Tukang Dollah, Kota Bharu, Kelantan yang dikenali sebagai Zakaria Hussain atau mesra dengan sapaan Pok Ya.

Biarpun usianya mencecah 65 tahun, kudrat dan kepakaran Zakaria masih diperlukan untuk melatih haiwan itu yang didatangkan oleh pemiliknya dari Pantai Timur malah ada juga dari negeri-negeri lain di Semenanjung.

Berkongsi pengalamannya dengan Kosmo! yang berkunjung ke rumahnya baru-baru ini, Zakaria menjadikan halaman rumahnya sebagai sekolah khas atau pusat latihan melatih haiwan tersebut dalam tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada pemiliknya.

Sehingga kini beliau berjaya melatih hampir 500 ekor beruk pada kadar upah sekitar RM150 dan RM200 seekor dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan bergantung kepada kecekapan haiwan tersebut.

Sepanjang 45 tahun mengendalikan kelas latihan secara sampingan, beliau tidak pernah digigit atau dicederakan oleh haiwan yang diserahkan kepadanya dalam keadaan liar dan merbahaya.

“Sifat beruk seakan-akan dengan manusia, haiwan ini juga amat menyayangi anak-anaknya malah mungkin lebih bertanggungjawab daripada sesetengah daripada kita yang sanggup membuang anak.

“Cuma haiwan ini tidak boleh berkata-kata tetapi tingkah lakunya boleh dijinakkan dan faham setiap arahan yang diberikan jika dilatih dengan betul,” katanya.


POK YA tidak pernah digigit atau dicederakan oleh beruk-beruk yang dilatih oleh beliau.


Bagaimanapun, haiwan tersebut akan bertindak ganas sekiranya dia berasa terancam.

Jika beruk berada dalam keadaan marah ia tidak akan datang kepada tuannya, sebaliknya akan cuba menjauhkan diri.

“Untuk menenangkan keadaan beruk tersebut, saya akan menarik tali tali yang diikat di lehernya dan kemudian membelainya.

“Lazimnya, apabila beruk dibelai dengan penuh kasih sayang, secara tidak langsung ia dapat meredakan kemarahan beruk itu,” kata bapa kepada tujuh anak itu.

Kata Zakaria, tidak ada seorang pun daripada anak-anaknya menunjukkan minat untuk mewarisi kemahiran yang dimilikinya itu. Beliau memperoleh ilmu menjinakkan beruk pada usia awal 20-an selepas melihat seorang jirannya melatih beruk.

Minat yang timbul diasah dengan pertolongan jirannya itu kerana kebetulan beliau juga mengambil upah memetik buah kelapa daripada penduduk kampung.

Katanya, jumlah beruk yang dilatih pada satu-satu masa bergantung kepada keadaan. Ada masanya mencecah hingga lima ekor dan berselang dua tiga bulan sebelum datang daripada sekumpulan yang lain.

Menurut Zakaria, sesi latihan dijalankan dalam beberapa peringkat untuk memastikan beruk dapat menyesuaikan diri dengan setiap arahan yang diberikan.

“Peringkat awal, saya akan meletakkan buah kelapa betul-betul di atas muka beruk.

“Keadaan tersebut menyebabkan beruk berasa rimas kerana pandangannya terhalang dan bertindak menguis kelapa tersebut sebagai tindak balas,” katanya.

Proses tersebut akan dilakukan selama 10 minit setiap hari lebih kurang seminggu untuk membiasakan beruk tersebut dengan buah kelapa dan menguatkan otot tangannya.

Sebaik sahaja proses tersebut selesai, beruk itu akan memasuki latihan seterusnya iaitu cuba menjatuhkan buah kelapa yang telah digantung pada sebatang kayu.

“Saya akan menggunakan sebiji kelapa yang diikat pada sebatang kayu dan mengajarnya memulas buah tersebut sehingga putus tali sabutnya.

‘‘Bagi teknik memetik pula, saya latih beruk itu menggunakan tangan dan kakinya sekali gus kerana cara itu akan mempercepatkan kerja-kerja yang dilakukan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Zakaria, kecekapan seekor beruk memahami arahan bergantung kepada tahap kesihatan beruk tersebut. Paling cepat seekor beruk dapat menguasainya teknik-teknik yang diajar selama tiga hari. Apabila beruk sudah menguasai latihan di rumah, dia akan membiasakan beruk dengan persekitaran pokok kelapa yang rendah dan tidak berbuah dengan menggantungkan sebiji buah kelapa di situ.

Menuntut kesabaran


BERUK adalah seekor haiwan yang kuat dan membantu tuannya jika dilatih dengan betul.


“Tujuannya untuk membiasakan beruk dengan pokok kelapa dan juga buah yang sepatutnya dipetik sebelum dipindahkan ke pokok yang lebih tinggi. “Beruk cepat menyesuaikan diri selepas dilatih beberapa minggu,” katanya.

Pok Ya yang dikenali sebagai tukang melatih beruk di kalangan penduduk kampung berhampiran menjelaskan, melatih haiwan tersebut menuntut kesabaran dan pengorbanan masa.

“Memang perlu banyak bersabar kerana daripada haiwan liar yang garang dan boleh menyerang, beruk boleh berubah kepada haiwan jinak sehingga boleh dipeluk dan makan di tangan,” katanya.

Untuk mewujudkan keserasian malah tidak keterlaluan membentuk hubungan kasih sayang antara mereka, pemiliknya perlu mengenal pasti sifat dan kelakukan haiwan tersebut.

Selama bertahun-tahun katanya, dia akan membelai dan menyayangi beruk-beruk yang dilatihnya supaya wujud pertalian kasih antara mereka secara telus dan ikhlas.

“Setiap hari, sebelum latihan dimulakan saya akan mengusap kepala dan tubuh beruk dan pada masa yang sama memeriksa tahap kesihatan dan kecergasannnya.

“Melalui sentuhan dan dimanja, haiwan akan berasa diri disayangi dan tidak terancam menyebabkan mereka jinak dan mesra malah menerima arahan dengan cepat dan teratur,” katanya.

Kebanyakan pemilik kebun memelihara haiwan tersebut untuk menggunakan khidmat beruk bagi menampung pendapatan melalui upah memetik dan menurunkan kelapa.

“Penggunaan khidmat beruk ini akan memudahkan kerja-kerja yang sukar untuk dilakukan oleh manusia. Beruk seekor binatang yang kuat malah ada yang memberitahu saya, beruk mampu memetik sehingga 400 biji kelapa sehari.

“Kos penjagaannya juga murah dan di kalangan pemiliknya akan membelanjakan lebih kurang RM100 sebulan untuk menyediakan makanan, iaitu nasi, telur ayam kampung dan minuman berkarbonat seperti Sarsi, tempat tinggal dan ubat-ubatan jika disyorkan oleh Jabatan haiwan, tetapi pendapatan yang diperoleh hasil tenaga beruk juga berbaloi,” ujarnya.

AHMAD SAID BAGI TANAH DAN WANG BUAT WIRA TERENGGANU

AHMAD SAID BAGI TANAH DAN WANG BUAT WIRA TERENGGANU


PARA pemain skuad bola sepak negara dijanjikan hadiah lumayan selepas memenangi Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.


ENAM anak Terengganu yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bakal memperoleh habuan lumayan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, setiap daripada pemain itu akan menerima hadiah berupa sebidang tanah selain wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurutnya, pemberian itu merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan negeri di atas kesungguhan anak-anak kelahiran Terengganu yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pemain-pemain yang akan menerima hadiah tersebut ialah Mohd. Ashari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha dari skuad Kelantan.

Tiga lagi pemain lain ialah dari skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

“Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki selepas menanti selama 14 tahun. Kita masih mampu menjaringkan gol sekali pun beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia dan ia adalah satu kejayaan penuh bersejarah.

“Apa yang pasti, kejayaan ini turut melibatkan enam anak Terengganu dan kita (kerajaan negeri) telah bersetuju untuk memberi hadiah berupa sebidang tanah untuk tapak rumah dan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Ahmad lagi, pemberian sebidang tanah itu akan ditentukan mengikut daerah masing-masing dan majlis penyerahannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kalau pemain itu berasal dari Kuala Terengganu, maka kita akan carikan sebidang tanah di Kuala Terengganu. Begitu juga kalau dia berasal dari Dungun ataupun dari daerah-daerah lain.

“Kita lakukan semua ini kerana mahu menghargai jasa mereka pada ketika Terengganu kini merupakan antara kuasa utama sukan di Malaysia,” jelasnya lagi.

Rabu lalu, skuad kebangsaan yang dikemudi jurulatih K. Rajagobal mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai juara Piala Suzuki 2010 selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir dengan agregat 4-2.

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut