Memaparkan catatan dengan label rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rencana. Papar semua catatan

TERKEJUT! JENAZAH MASIH SEMPURNA WALAUPUN SUDAH DIKEBUMIKAN 15 TAHUN YANG LALU








 Beberapa penggali kubur terkejut apabila menemui keranda dan jenazah masih sempurna walaupun sudah dikebumikan hampir 15 tahun lalu ketika kerja menggali kubur dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga di sini, kelmarin.

Penggali kubur, Mansor Ahmad, 57, berkata, mereka mendapat arahan dari pihak pengurusan tanah perkuburan masjid terbabit untuk menggali bagi mengebumikan jenazah baru bersebelahan kubur berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menggali kubur kepada seorang saudaranya yang meninggal dunia kerana sakit jantung untuk dikebumikan bersebelahan dengan kubur terbabit.

"Selepas menggali tanah sedalam satu meter, tiba-tiba tanah bersebelahan itu runtuh dan kami mendapati sebuah keranda yang masih sempurna di dalamnya. Kami terkejut kerana difahamkan kubur itu sudah lama dikebumikan iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

"Bagaimanapun keranda itu masih sempurna seperti baharu sahaja dikebumikan. Apa yang pelik ialah kami melihat keranda itu berada di dalam ruang yang kosong dan tanah tidak pula menutupi keranda itu," katanya kepada Sinar Harian.


Kain kafan masih putih

Mansor berkata, bagi memastikan keadaan jasad terbabit, dia membuka keranda itu dan melihat jenazah masih lagi sempurna dan tilam yang ada di dalam bagi melapik jenazah masih lagi kelihatan seperti baru.

"Oleh kerana kerja menggali kubur terpaksa dilakukan, saya memegang jenazah dan menolak keranda itu masuk ke dalam dan merasai jasad terbabit seperti baru dikebumikan," katanya.

Katanya, kain kafan jenazah pula masih lagi putih dan tidak berbau.

"Pengalaman itu merupakan kali kedua saya alami sejak menjadi penggali kubur hampir 40 tahun di tanah perkuburan ini.

"Sebelum ini, pada 1980-an, saya serta beberapa rakan pernah terdengar ketukan sesuatu dari dalam kubur hingga menyebabkan imam terpaksa dipanggil bagi menyelesaikannya," katanya.

Menurutnya, jenazah masih sempurna ditemui itu ialah seorang guru, Mohd Najib Abdullah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Mersing, Johor dan jenazah dibawa pulang dari Mersing dan dikebumikan di situ.


Syukur kebesaran ALLAH SWT

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdullah Omar, 75, dari Kampung Alor Melong di sini, berkata, semasa keluarganya mendapat tahu tentang keadaan jenazah anaknya itu, dia sungguh terharu dan bersyukur dengan kebesaran ALLAH SWT.

Katanya, semasa kerja menggali kubur dilakukan, seorang daripada anaknya juga turut berada di situ melihat kerja dan terkejut apabila melihat jenazah abang sulung mereka masih sempurna.

"Pada masa itu, semua yang ada di situ tergamam melihat kubur yang sekian lama itu masih lagi sempurna apatah lagi keranda itu seperti berada di dalam gua.

"Seorang dari anak saya bersyukur kerana inilah pengalaman pertamanya melihat jenazah lama yang masih lagi sempurna apatah lagi darah daging mereka sendiri," katanya.

Abdullah berkata, semasa arwah dikafankan serta dibawa pulang dengan kenderaan jenazah dahulu, pemandu kenderaan terbabit memaklumkan kepadanya bahawa sepanjang perjalanan dari Mersing,  dia sentiasa terhidu bau wangi di dalam kenderaan sehinggalah tiba di kampungnya.

"Bagaimanapun pada masa itu pakcik hanya mendengar sahaja dan berdiam. Tetapi dengan peristiwa ini, sekali lagi ALLAH SWT menunjukkan kebesaran terutama kepada kita yang masih hidup ini," katanya.


Al-Quran jadi teman rapat

Menurutnya, semasa meninggal dunia, anaknya itu berusia 29 tahun dan dia seorang yang pendiam serta tidak banyak bercakap tetapi suka menolong saudara-mara dan rakan-rakannya.

"Dia tidak pernah ingkar arahan jika diberikan tanggungjawab malah kerap membantu ibunya di dapur. Sebelum menjadi guru, dia pernah tinggal di Maahad Tahfiz  Al-Quran Derga selama beberapa bulan dengan bekerja sebagai warden di situ.

"Selain itu, arwah anak saya juga turut mengajar akademik kepada pelajar tahfiz di situ serta turut menjadi imam. Al-Quran merupakan teman rapatnya walaupun dia tidak menghafalnya," katanya.

Mansor berkata, semasa arwah anaknya itu menetap di maahad terbabit, pelajar di situ sangat sukakannya sehingga setiap kali tibanya musim cuti persekolahan, dia akan pulang melawat pelajar serta sentiasa prihatin dengan pengajian mereka.

"Di antara anak didiknya di maahad terbabit ialah bekas Adun Bukit Lada, arwah Ahmad Izzat Shauki,” katanya.

CINA TIRUK DI TERENGGANU




KUALA TERENGGANU - Sebut sahaja Cina Peranakan, Cina Tiruk, pastinya orang ramai terutama golongan lebih berusia di negeri ini mengenali dan tahu akan kefasihan masyarakat Cina di situ yang menggunakan bahasa Melayu dalam loghat Terengganu.
Sepintas lalu mendengar perbualan di antara masyarakat Melayu dan Cina Tiruk, memang tidak akan perasan itu perbualan antara dua bangsa berbeza, kerana masyarakat Cina Tiruk begitu ‘ligat’ bercakap loghat Terengganu.
“Ambe capor (bergaul) dari kecik lagi, memang pandai cakap Ganung (Terengganu) same macam orang Melayu cakap. Kalau orang kampung lain mari, dia dok tengok muka ambe, memang dia dok perasan ambe (Cina) cakap.
“Se (satu) lagi kalau ayat-ayat orang Melayu biasa guna, ambe sebut je sebab jadi biasa doh, saing-saing Melayu ambe cakap gitu,” kata seorang warga emas Cina Tiruk yang disapa sebagai Pok Jin atau, Koo Ong Jin, 62, dari Kampung Kemang Tiruk.
Begitulah realitinya yang berlaku kepada masyarakat Cina Tiruk di kampung ini, malah semua yang tinggal di situ diberi gelaran ‘Pok’ dan ‘Mek’ sebagai panggilan mesra, sepertimana diberi kepada orang Melayu.
Sinar Harian difahamkan, masyarakat Cina Tiruk kebanyakannya berasal dari daerah Fujian, China dan berhijrah ke Terengganu ketika pemerintahan Dinasti Qing dan mereka berbangsa Hokkien.
Kesemua masyarakat Cina Tiruk di Kampung Kemang Tiruk boleh bertutur bahasa Hokkien dan bukan Kantonis mahupun Mandarin, malah lebih mahir berbahasa Melayu daripada bahasa-bahasa Cina lain.
Terdapat juga Cina Tiruk yang mampu menulis dan membaca tulisan jawi terutama generasi pertama dan kedua kerana didedahkan dengan sekolah Melayu yang menggunakan papan batu pada masa itu.
“Sini semua orang panggil Pok Jin, kalu ada orang luor mari cari ambe sebut nama dalam IC (kad pengenalan) memang payoh nak jumpe tapi kalau sebut Pok Jin, boleh jumpa selalu sebab sekampung dok kira kecik besor, tua muda panggil Pok Jin blake.
“Kami sini beza agama je, tapi ambe tahu sifat 20, dok soh (tak perlu) nak cakap lebih kurang lah kalu sembang bab tu,” cerita Pok Jin yang merupakan generasi keempat Cina Tiruk di kampung berkenaan.
Ditanya mengenai makanan, Pok Jin berkata, dia sukakan makanan orang Melayu termasuk budu, belacan dan ulam-ulaman, malah lebih selesa menggunakan tangan berbanding sudu ataupun penyepit.
“Makang (makan) pakai tangan senang nak cicoh budu, makang dengan sudu tak sedap lagipun jarang makang guna penyepit, wat tubik (keluar) pun masa anak beranok mari rumah masa raya gitu je,” ceritanya yang mengakui perlu mempelajari cara penggunaan penyepit supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat Cina lain.
Lain pula cerita seorang warga emas yang dikenali dengan panggilan Mek atau nama sebenarnya Yee Choo Im, 66.
Mek berkata, dari kecil lagi dia tidak pandai menggunakan penyepit kerana dikelilingi budaya Melayu di kampung yang menggunakan tangan ketika makan.
Mek juga penggemar makanan Melayu, malah setiap hari menu wajibnya adalah budu sebagai pembuka selera menjamah nasi.
“Makang macam orang Melayu juga, pagi-pagi buat nasi goreng, mee goreng, minum air kopi cicoh biskut.
“Balik noreh (menoreh getah) buat lauk ikang singgang, ada ulam, cicoh budu sedap doh, tak payoh lauk lain,” ceritanya.
Ibu tujuh anak itu gemar memakai kain batik dan kebaya nyonya sejak berkahwin ketika berumur 16 tahun lagi.
“Mek memang suka pakai kain batik, tak rajin (pernah) lagi pakai seluor, memang ginilah hari-hari (berkain batik). Pok Awang (mendiang suami) dulu pun suka pakai kain pelekat, gi noreh ke gi kedai ke pakai kain nilah,” katanya.
Menurutnya, banyak budaya atau adat Melayu menjadi ikutan orang Cina Tiruk disebabkan keakraban dua bangsa itu suatu masa dahulu, terutama generasi pertama dan kedua.
Seorang lagi Cina Tiruk generasi keempat, Ong Bi Yang, 73, atau Mek Yang mengakui hubungan masyarakat Melayu dan Cina Tiruk di kampung itu amat mesra suatu masa dahulu sehingga mereka dapat melakukan gotong-royong bersama ketika ada kenduri dan sebagainya.
Budaya pergaulan itu semakin hilang ditelan zaman kerana generasi sekarang (generasi kelima) suka berhijrah ke kota.
“Dulu, kami keje ladang dan menoreh getoh, tetapi anak-anak sekarang tak mboh keje gini, semua nak keja kat bandor, jadi mereka berhijrah, yang ada ni dah tua,” jelasnya.
Generasi hari ini juga tidak lagi mempraktikkan budaya Melayu, malah mereka lebih suka mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Namun, Mek Yang selesa tinggal di dalam masyarakat Melayu kerana mereka masih mesra dan cakna mengenainya.
Dia yang dibesarkan di kampung itu berkata, masyarakat Cina asalnya dari satu kawasan daerah Hulu Terengganu, sebelum pindah ke kampung sekitar termasuk Pulau Bahagia, Wakaf Tapai dan Kemang Tiruk.
WIRA KAMPUNG BUKIT YONG

WIRA KAMPUNG BUKIT YONG



PERISTIWA Bukit Kepong yang melibatkan sebuah balai polis diserang komunis cukup dekat di hati seluruh rakyat Malaysia. Malah, peristiwa tersebut turut diterjemahkan dalam filem oleh pengarah terkenal, Tan Sri Jins Shamsudin.

Namun, mungkin ramai yang jarang mengetahui kawasan Bukit Yong yang terletak di daerah Pasir Puteh, Kelantan dengan keluasan hampir 87 kilometer persegi turut mencatat peristiwa penting dalam sejarah keganasan komunis.

Bagi seorang bekas konstabel polis, Ismail Abdul Rahman, 89, tragedi yang berlaku 58 tahun lalu itu masih tebal dalam lipatan memorinya.

Tragedi yang sehingga mencederakan kedua-dua belah tangan termasuk mengorbankan seorang rakan setugasnya itu akan terus kekal dalam lipatan memorinya.

Malam 23 Mac 1953, cuacanya cukup dingin, sambil ditemani lampu gasolin, dua anggota polis berpangkat Konstabel sedang menjalankan tugas. Kedua-duanya ditemani oleh ketua mereka yang berpangkat Sarjan di Rumah Pasung Bukit Yong.

Sebelum dikenali sebagai balai polis, rumah pasung yang hanya berdindingkan buluh dan beralaskan lantai kayu itu menempatkan sembilan anggota polis dan sembilan buah berek menempatkan ahli keluarga anggota yang bertugas.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 8.40 malam, Ismail dan rakannya yang di kenali sebagai Che Ri bersama ketua mereka Sarjan Deraman masih menjalankan tugas.

Sertai pasukan polis

Dalam tempoh lima minit, beliau perlu menyelesaikan satu lagi tanggungjawabnya pada malam tersebut.

Loceng tembaga yang digantung di pangkin rumah pasung itu perlu diketuknya sebagai isyarat kepada anggota yang berada di berek untuk perbarisan (row call).

Dilahirkan pada tahun 1922 di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, Ismail menyertai pasukan polis dengan menyertai Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, Kuala Lumpr atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Henry Gurney pada tahun 1948.

Sebaik menamatkan latihan, beliau dihantar bertugas di Balai Polis Kota Bharu pada 29 Disember 1949 sebelum ditukarkan ke Pulai, Gua Musang tiga bulan kemudian.


PINGAT yang diterima oleh Ismail daripada kerajaan British (kiri) dan penghargaan daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor atas pengorbanannya menentang pengganas komunis suatu ketika dahulu.


Ismail berkata, selepas tiga bulan bertugas di Gua Musang, beliau dipanggil semula untuk bertugas di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan dan sebulan kemudian dia ditawarkan bertugas di Bukit Yong.

Ketika jam menunjukkan pukul 8.45 malam, Ismail terus mendapatkan loceng tersebut. Sebaik pukulan loceng pertama, beliau menyedari terdapat sebuah bas berhenti betul-betul di hadapan rumah pasung tersebut.

Sebaik menoleh ke arah bas tersebut, beliau mendapati, hampir 20 orang lelaki turun daripada bas tersebut. Dalam kegelapan malam itu, matanya sempat menangkap kesemua lelaki tersebut memakai uniform seperti komunis.

"Tiba-tiba tembakan dilepaskan dan kami bertiga dihujani peluru. Saya terus masuk ke dalam rumah pasung dan terus meniarap. Ketika itu Che Ri meniarap di hadapan saya.

"Ketika itu baru saya sedar bahawa kami semua telah diserang oleh komunis dan mereka tidak berhenti menembak sehingga kami semua tidak mampu untuk bangun dan mendapatkan senapang yang tersimpan di dalam sebuah almari untuk membalas tembakan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Ismail, ketika dihujani peluru, ketuanya Sarjan Deraman berjaya melarikan diri ke berek untuk mendapatkan perlindungan, namun beliau dan Che Ri tidak mampu untuk keluar dari situ.

"Tembakan tersebut berlaku selama 20 minit sehingga rumah pasung tempat saya bertugas itu rosak teruk. Kemudian, salah satu peluru telah menembusi perut Che Ri menyebabkan beliau meninggal dunia di situ juga.

"Peluru yang sama juga menembusi tangan kiri saya dan juga terkena tangan kanan saya menyebabkan saya tidak sedarkan diri. Selepas itu, seorang anggota komunis memberikan dua biji ubat menyebabkan saya sedar semula," ujarnya.

Diserang komunis

Kata Ismail, kumpulan komunis tersebut dipercayai telah merampas sebuah bas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Kota Bharu di sempadan kawasan Kelantan-Terengganu yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah pasung tempat beliau bertugas.

Jarak di antara jalan raya dan rumah pasung yang terletak hanya 10 meter menyebabkan tindakan komunis menggunakan kenderaan seperti bas itu adalah suatu yang sangat praktikal. Lebih-lebih lagi apabila mereka merancang untuk memusnahkan rumah pasung tersebut.

Selain daripada kekuatan seramai 20 orang yang turun daripada bas tersebut, Ismail juga berkata, seramai 10 lagi anggota komunis sedang bersembunyi di kawasan semak berhampiran rumah pasung untuk membantu dalam serangan tersebut.

"Memang kami tak sempat berbuat apa-apa. Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan komunis juga menawan anggota polis dan keluarga yang berada di dalam berek.


ISMAIL (kiri) menunjukkan tapak lama Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan kepada Ketua Polis Balai Bukit Yong, Sarjan Mejar Moktar Adam.


"Bagaimanapun, komunis tidak mencederakan mereka yang lain. Mereka merampas lapan laras senapang jenis Mark 3 model 303 dan 288 butir peluru yang digunakan oleh anggota polis selain dua laras senapang patah milik penduduk kampung yang disimpan di sini sebelum melarikan diri," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Cerita Ismail, ketika kejadian serangan tersebut berlaku, isteri kepada Che Ri yang terbunuh dikenali sebagai Che Jah, sempat melarikan diri melalui kawasan semak bersama selaras senapang untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, senapang tersebut adalah senapang yang digunakan Che Ri semasa bertugas. Namun, secara kebetulan ketika kejadian senapang tersebut ditinggalkan di bereknya menyebabkan Che Jah sempat membawa senapang tersebut ketika melarikan diri.

Menurutnya, Che Jah sempat melarikan diri sehingga ke Wakap Raja yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah pasung tersebut sebelum terserempak dengan sepasukan anggota polis Cawangan Khas (SB) yang melakukan rondaan dengan sebuah van.

"Che Jah terserempak dengan anggota SB dan memaklumkan kejadian tersebut sebelum mereka pulang semula ke Balai Polis Pasir Puteh untuk memaklumkan kejadian tersebut serta meminta bantuan.

"Selepas lebih kurang 45 minit menawan rumah pasung tersebut, kesemua komunis tersebut melarikan diri bersama senapang yang dirampas dan tidak lama kemudian, bantuan sampai dan saya dihantar ke klinik Pasir Puteh," ceritanya.

Berikutan kecederaan yang dialami agak serius, Ismail telah dihantar ke Hospital Kota Bharu untuk menjalani pembedahan membuang peluru yang terbenam di dalam tangan kanannya.

Selepas dirawat di hospital selama dua minggu, beliau menerima satu lagi berita sedih. Kedua-dua belah tangannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong kerana kecederaan yang serius. Keadaan itu jika dibiarkan boleh mengancam nyawanya.

Terima penghargaan

Tapi saya tidak benarkan dan saya bersyukur sehingga sekarang ini kedua-dua tangan saya masih boleh berfungsi walaupun tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja berat selepas peristiwa tersebut.


GAMBAR kenangan Ismail semasa bertugas di Pasir Puteh, Kelantan.


"Berikutan kecederaan tersebut saya terpaksa pencen awal dengan mendapatkan sokongan lembaga perubatan kerana tidak mampu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai seorang anggota polis selepas berkhidmat," katanya.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Ismail menentang komunis itu akhirnya diiktiraf oleh kerajaan British apabila beliau menerima pingat atas jasa bakti yang dicurahkan menjaga keamanan Tanah Melayu ketika itu.

Selain itu, beliau turut menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia menerusi hadiah penghargaan yang disampaikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pada 17 September 1994.

Beliau yang kini menetap di Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh menjalani kehidupan seorang diri selepas kematian isterinya Mek Esak Che Lah tahun lalu kerana sakit tua.

Rutin hariannya adalah menunaikan solat berjemaah di madrasah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya selain menziarahi rakan-rakan lain selepas memilih untuk tidak tinggal bersama anak-anaknya.

"Saya lebih senang tinggal sendirian, tak mahu susahkan anak-anak. Di sini saya ada ramai kawan, mereka boleh jaga saya dan lebih gembira untuk bersama-sama mereka," jelasnya yang kini memiliki 30 orang cucu dan enam orang cicit.


sumber:kosmo

POKYA CIKGU BERUK

POKYA CIKGU BERUK

GELAGAT seekor beruk sering mencuri tumpuan khalayak terutama golongan kanak-kanak kerana tingkah lakunya yang menghiburkan.

Kelincahannya itu turut disenaraikan dalam peribahasa Melayu, bagai beruk kena belacan yang menjelaskan seorang dalam keadaan panik atau terlalu aktif.

Walaupun menarik perhatian namun haiwan mamalia itu juga dikaitkan dengan sifat nakal, liar dan gemar menggigit malah pernah dilaporkan mencederakan manusia apabila terasa diancam.

Beruk dalam bahasa saintifik dikenali sebagai Macaca Nemestrina merupakan haiwan terlindung yang terdapat banyak di negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Kemboja.

Walaupun dikaitkan dengan tingkah laku yang nakal dan liar, namun haiwan yang melahir dan memelihara anaknya sendiri sehingga mampu berdikari itu mampu dijinakkan malah khidmatnya amat berbaloi untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Pusat latihan

Aktiviti yang menggunakan khidmat beruk itu cukup popular di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Bahkan boleh dikatakan terdapat tempat-tempat yang menyediakan sekolah untuk melatih beruk-beruk itu dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Kelebihan sekumpulan beruk yang mampu berkomunikasi dengan pelatihnya itu ditangani dengan baik oleh seorang penduduk kampung di Pulau Tukang Dollah, Kota Bharu, Kelantan yang dikenali sebagai Zakaria Hussain atau mesra dengan sapaan Pok Ya.

Biarpun usianya mencecah 65 tahun, kudrat dan kepakaran Zakaria masih diperlukan untuk melatih haiwan itu yang didatangkan oleh pemiliknya dari Pantai Timur malah ada juga dari negeri-negeri lain di Semenanjung.

Berkongsi pengalamannya dengan Kosmo! yang berkunjung ke rumahnya baru-baru ini, Zakaria menjadikan halaman rumahnya sebagai sekolah khas atau pusat latihan melatih haiwan tersebut dalam tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada pemiliknya.

Sehingga kini beliau berjaya melatih hampir 500 ekor beruk pada kadar upah sekitar RM150 dan RM200 seekor dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan bergantung kepada kecekapan haiwan tersebut.

Sepanjang 45 tahun mengendalikan kelas latihan secara sampingan, beliau tidak pernah digigit atau dicederakan oleh haiwan yang diserahkan kepadanya dalam keadaan liar dan merbahaya.

“Sifat beruk seakan-akan dengan manusia, haiwan ini juga amat menyayangi anak-anaknya malah mungkin lebih bertanggungjawab daripada sesetengah daripada kita yang sanggup membuang anak.

“Cuma haiwan ini tidak boleh berkata-kata tetapi tingkah lakunya boleh dijinakkan dan faham setiap arahan yang diberikan jika dilatih dengan betul,” katanya.


POK YA tidak pernah digigit atau dicederakan oleh beruk-beruk yang dilatih oleh beliau.


Bagaimanapun, haiwan tersebut akan bertindak ganas sekiranya dia berasa terancam.

Jika beruk berada dalam keadaan marah ia tidak akan datang kepada tuannya, sebaliknya akan cuba menjauhkan diri.

“Untuk menenangkan keadaan beruk tersebut, saya akan menarik tali tali yang diikat di lehernya dan kemudian membelainya.

“Lazimnya, apabila beruk dibelai dengan penuh kasih sayang, secara tidak langsung ia dapat meredakan kemarahan beruk itu,” kata bapa kepada tujuh anak itu.

Kata Zakaria, tidak ada seorang pun daripada anak-anaknya menunjukkan minat untuk mewarisi kemahiran yang dimilikinya itu. Beliau memperoleh ilmu menjinakkan beruk pada usia awal 20-an selepas melihat seorang jirannya melatih beruk.

Minat yang timbul diasah dengan pertolongan jirannya itu kerana kebetulan beliau juga mengambil upah memetik buah kelapa daripada penduduk kampung.

Katanya, jumlah beruk yang dilatih pada satu-satu masa bergantung kepada keadaan. Ada masanya mencecah hingga lima ekor dan berselang dua tiga bulan sebelum datang daripada sekumpulan yang lain.

Menurut Zakaria, sesi latihan dijalankan dalam beberapa peringkat untuk memastikan beruk dapat menyesuaikan diri dengan setiap arahan yang diberikan.

“Peringkat awal, saya akan meletakkan buah kelapa betul-betul di atas muka beruk.

“Keadaan tersebut menyebabkan beruk berasa rimas kerana pandangannya terhalang dan bertindak menguis kelapa tersebut sebagai tindak balas,” katanya.

Proses tersebut akan dilakukan selama 10 minit setiap hari lebih kurang seminggu untuk membiasakan beruk tersebut dengan buah kelapa dan menguatkan otot tangannya.

Sebaik sahaja proses tersebut selesai, beruk itu akan memasuki latihan seterusnya iaitu cuba menjatuhkan buah kelapa yang telah digantung pada sebatang kayu.

“Saya akan menggunakan sebiji kelapa yang diikat pada sebatang kayu dan mengajarnya memulas buah tersebut sehingga putus tali sabutnya.

‘‘Bagi teknik memetik pula, saya latih beruk itu menggunakan tangan dan kakinya sekali gus kerana cara itu akan mempercepatkan kerja-kerja yang dilakukan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Zakaria, kecekapan seekor beruk memahami arahan bergantung kepada tahap kesihatan beruk tersebut. Paling cepat seekor beruk dapat menguasainya teknik-teknik yang diajar selama tiga hari. Apabila beruk sudah menguasai latihan di rumah, dia akan membiasakan beruk dengan persekitaran pokok kelapa yang rendah dan tidak berbuah dengan menggantungkan sebiji buah kelapa di situ.

Menuntut kesabaran


BERUK adalah seekor haiwan yang kuat dan membantu tuannya jika dilatih dengan betul.


“Tujuannya untuk membiasakan beruk dengan pokok kelapa dan juga buah yang sepatutnya dipetik sebelum dipindahkan ke pokok yang lebih tinggi. “Beruk cepat menyesuaikan diri selepas dilatih beberapa minggu,” katanya.

Pok Ya yang dikenali sebagai tukang melatih beruk di kalangan penduduk kampung berhampiran menjelaskan, melatih haiwan tersebut menuntut kesabaran dan pengorbanan masa.

“Memang perlu banyak bersabar kerana daripada haiwan liar yang garang dan boleh menyerang, beruk boleh berubah kepada haiwan jinak sehingga boleh dipeluk dan makan di tangan,” katanya.

Untuk mewujudkan keserasian malah tidak keterlaluan membentuk hubungan kasih sayang antara mereka, pemiliknya perlu mengenal pasti sifat dan kelakukan haiwan tersebut.

Selama bertahun-tahun katanya, dia akan membelai dan menyayangi beruk-beruk yang dilatihnya supaya wujud pertalian kasih antara mereka secara telus dan ikhlas.

“Setiap hari, sebelum latihan dimulakan saya akan mengusap kepala dan tubuh beruk dan pada masa yang sama memeriksa tahap kesihatan dan kecergasannnya.

“Melalui sentuhan dan dimanja, haiwan akan berasa diri disayangi dan tidak terancam menyebabkan mereka jinak dan mesra malah menerima arahan dengan cepat dan teratur,” katanya.

Kebanyakan pemilik kebun memelihara haiwan tersebut untuk menggunakan khidmat beruk bagi menampung pendapatan melalui upah memetik dan menurunkan kelapa.

“Penggunaan khidmat beruk ini akan memudahkan kerja-kerja yang sukar untuk dilakukan oleh manusia. Beruk seekor binatang yang kuat malah ada yang memberitahu saya, beruk mampu memetik sehingga 400 biji kelapa sehari.

“Kos penjagaannya juga murah dan di kalangan pemiliknya akan membelanjakan lebih kurang RM100 sebulan untuk menyediakan makanan, iaitu nasi, telur ayam kampung dan minuman berkarbonat seperti Sarsi, tempat tinggal dan ubat-ubatan jika disyorkan oleh Jabatan haiwan, tetapi pendapatan yang diperoleh hasil tenaga beruk juga berbaloi,” ujarnya.

ISTERI CURANG BIJAK SIMPAN RAHSIA

ISTERI CURANG BIJAK SIMPAN RAHSIA


WANITA bijak menyimpan rahsia hinggalah kecurangan mereka terbongkar.

BANYAK KES KECURANGAN ISTERI BERLAKU DITEMPAT KERJA

KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.

Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.

“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.

Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.

Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.

Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.

Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.

Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.

Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.

Meningkat

Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.

Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.

“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.

“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.

Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.

Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.

“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.

Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.

Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.

Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.

Cinta sepejabat

“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.

Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.


MEDIA akhir-akhir ini kerap melaporkan kisah suami menangkap isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain.


“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.

“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.

Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.

“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.

“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.

“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.

BUDAK MELAYU BERMATA BIRU


BUKAN di New York, London atau Riyadh sebaliknya cuma di Kota Kuala Muda, Kedah. Tidak berketurunan orang putih atau Asia Barat, mahupun berdarah kacukan, kewujudan seorang kanak-kanak Melayu yang memiliki sepasang mata biru di negara ini dianggap luar biasa.

Iris atau anak mata Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal berwarna biru air laut!

"Setahu saya memang tidak ada darah mat saleh atau Arab dalam keturunan kami. Kulit kami pun gelap-gelap," kata datuk kanak-kanak itu, Ahmad Mustafa, 62, kepada Jurnal.

Difahamkan, semasa dilahirkan, mata kanak-kanak itu berwarna hitam macam kebanyakan orang Melayu. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

Aizat yang berusia setahun 4 bulan merupakan anak kepada pasangan bisu dan bermasalah pendengaran, Mohd. Rizal Mohamad, 34, dan Noraini Ahmad, 31.

Ahmad berkata, setakat ini doktor yang ditemuinya belum mengetahui punca mata biru Aizat, namun mengesahkan matanya tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Hal itu mendorong tercetusnya pelbagai tanggapan. Selain Aizat mungkin mewarisi ciri bapanya yang memiliki sebelah mata yang sedikit kebiruan, hubungan rapat ibu kanak-kanak itu dengan seekor kucing Siam peliharaan juga dikaitkan sebagai punca mata biru Aizat.

"Semasa mengandungkannya, ibunya gemar bermain dengan seekor kucing Siam yang bermata biru. Selalu selepas pulang dari kerja, dia akan bermain dengan kucing itu dan suka memandang matanya. Dia sering membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruannya.

"Ada orang kata kejadian ini mungkin kenan kucing tetapi saya tidak pasti sama ada ia betul atau tidak. Apa pun, saya anggap ini semua kuasa Allah," kata Ahmad.

Biarpun tidak diketahui sama ada apa yang terjadi kepada Aizat sebagai kenan atau tidak, kejadian itu mendorong Jurnal untuk mengupas mengenai kenan haiwan.

JIKA bukan kenan kucing, mata biru Aizat mungkin diwarisi daripada bapanya yang mempunyai sebelah mata yang kebiruan.

Kenan katak

Pembongkaran misteri kenan ini telah menemukan Jurnal dengan Muhammad Noraiman Kamal yang sudah berusia 10 tahun tetapi masih tidak boleh berdiri dan kakinya membengkok. Keadaannya itu dikaitkan dengan kenan katak.

"Begitulah keadaan anak saya. Umur 10 tahun tapi badan kecil macam budak umur setahun. Tangannya seperti tidak ada. Bila dia meniarap memang nampak macam katak," kata bapa Nor Aiman, Kamal Buyong, 70.

"Biasanya pukul 2 atau 3 pagi dia masih berjaga dan saya bermain dengannya. Pukul 5 pagi baru dia tertidur," ujar Kamal yang dikurniakan 11 orang anak dan Nor Aiman merupakan anak bongsu.

Isterinya, Siti Ramlah Mamat, 53, bercerita, keadaan itu mungkin berlaku kerana dia pernah mencurahkan air kepada katak semasa mengandungkan Nor Aiman.

"Saya terkejut, geli tengok. Saya curah air padanya. Rasanya tak panas sangat air itu. Masa itu, tak ingat yang saya mengandung. Kandungan baru berusia tiga minggu," ujarnya yang pasrah dengan takdir Tuhan dan tetap menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang..

Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Penjagaan Bayi dan Ibu Dalam Pantang mentakrifkan kenan berasaskan pemahaman orang Melayu ialah kecelakaan, sama ada merupakan penyakit atau kecacatan yang dialami oleh bayi yang baru dilahirkan akibat melanggar pantang, yang dilakukan ibu atau bapa ketika bayi masih dalam kandungan.

Ia boleh terjadi kerana perbuatan membunuh, menyeksa binatang atau si pelaku melakukan sesuatu dalam keadaan lupa dirinya sedang mengandung.

Seorang bidan, Raja Aizam Raja Ahmad, 58, berkata, kenan juga mungkin boleh berlaku kepada ibu-ibu mengandung yang terkejut melihat binatang.

"Itu sebab pesan orang tua-tua dulu, kalau ibu sedang mengandung, lagi-lagi ketika hamil tiga bulan ke bawah, si ibu atau bapanya perlu menjaga kelakuan. Si suami dinasihatkan tidak pergi berburu atau memotong haiwan.

Amarah haiwan

"Si ibu juga tidak boleh terkejut nampak sesuatu. Terlalu suka atau amat berkenan pada sesuatu pun tak boleh juga," katanya yang pernah menyaksikan pelbagai kejadian kenan seperti kenan biawak, kenan ular, kenan monyet dan kenan katak.

"Pernah satu kejadian di Perak, seorang bayi yang dilahirkan itu hanya normal pada waktu siang. Tetapi, setiap malam dia menangis. Sampailah ibunya merendamkannya dalam air di dalam tempayan baru dia berhenti menangis.

"Bila diangkat sahaja, dia kembali menangis. Sejak itu, setiap malam dia perlu berendam dalam air. Selama tujuh bulan begitu sehinggalah bayi itu meninggal dunia.

"Kejadian itu berlaku mungkin disebabkan si ibu yang merupakan seorang pekebun, geli dengan seekor biawak lalu tercangkul kepalanya," ujarnya yang lebih mesra disapa Mak Engku ketika ditemui di kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Kejadian kenan ular pula menjadikan seorang kanak-kanak itu tidak boleh makan tumbuhan-tumbuhan menjalar seperti tembikai lalu tubuhnya akan mengeluarkan sisik. Kanak-kanak lelaki itu akhirnya meninggal dunia pada usia 17 tahun.

"Diceritakan, semasa mengandung, ibu budak itu terkejut apabila melihat ibunya (nenek yang mudah melatah) 'bermain' dengan anak ular kerana seorang cucunya telah memperdajal dengan menyorokkan telur ular (kemudian menetas) di dalam tin," katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi bidan.

"Mungkin apa yang berlaku itu kerana haiwan marah dan ia menjadi peringatan kepada manusia supaya tidak menyakiti haiwan. Lagipun, agama mendidik kita supaya saling menyayangi hidupan di muka bumi," katanya.

Mak Engku mengingatkan, kenan bukan sahaja boleh berlaku akibat perbuatan ibu, bapa atau ahli keluarga semasa kehamilan tetapi juga bagi jangka masa sebelum itu.

KAKI Noraiman yang bengkok menyerupai katak dikaitkan dengan kenan amfibia itu.

Perlindungan

"Ada seorang lelaki yang telah menembak mati seekor ibu monyet semasa mudanya dan beberapa tahun selepas itu dia berkahwin dan melahirkan anak kenan monyet.

"Tangan anaknya panjang luar biasa, berjalan seperti monyet dan anaknya suka duduk di atas TV," ujarnya.

"Apa pun, kita kena ambil peka pesan orang tua-tua. Bila mereka larang pasti ada sebabnya. Tetapi kita juga kena ingat semuanya berlaku dengan kuasa dan ketentuan Allah," katanya lagi.

Pengamal perubatan Islam di Darussyifa', Bangi, Abdul Rahman Nawas berkata, pendirian Islam berhubung hal ini ialah jangan percaya 100 peratus tetapi jangan tidak percaya langsung kerana telah berlaku banyak kejadian aneh sebegitu.

"Memang kenyataan sebenar tidak kita ketahui. Tapi kita mengambil pendirian kemungkinan kezaliman telah berlaku.

"Kita kena ingat semua makhluk di bumi ini berzikir kepada Allah. Maka, ia juga boleh berdoa kepada Allah.

"Berdasarkan hadis, doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijab, ia terus sampai kepada Allah.

"Mungkin haiwan yang dizalimi berdoa memohon sesuatu ditimpakan ke atas mereka yang menzaliminya," ujarnya.

Sebagai perlindungan, Abdul Rahman berkata, individu perlu sentiasa beringat dan memohon pertolongan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Jika dalam keadaan terpaksa membunuh haiwan sekali pun, perlu diberikan amaran terlebih dahulu.

AHMAD MUSTAFA bersama cucunya, Mohd. Aizat Aiman yang mempunyai sepasang mata biru.

"Kalau ada ular masuk rumah pun, jangan terus bunuh. Tinggalkan rumah itu dan beri tempoh tiga hari sekurang-kurangnya untuk ia pergi," ujarnya.

Abdul Rahman berkata, dia sendiri pernah mengubati kanak-kanak yang kenan burung kasuari, kenan ular dan kenan kera. Katanya, kebanyakan kenan berlaku kepada kanak-kanak.

"Alhamdulllah, jika kenan yang melibatkan perbuatan, kita masih boleh mengubati setakat ini.

"Cuma kenan yang bersifat kecacatan fizikal itu di luar kemampuan kami," ujarnya.

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut