Pendedahan aksi seks pemimpin pembangkang
KUALA LUMPUR - Satu kumpulan lelaki yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita dipercayai pelacur warga asing di sebuah hotel di sini.
Kumpulan itu yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk T berkata, mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini bagi pengecaman.
Video yang berdurasi selama 22 minit itu dirakamkan pada pukul 10.23 malam hingga 10.45 malam pada 21 Februari lalu melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bilik hotel yang turut menawarkan perkhidmatan urutan spa.
Rakaman hitam putih itu jelas menunjukkan wajah pemimpin politik itu yang melakukan aksi seks pelbagai posisi bersama wanita berkulit cerah yang rambutnya diikat.
Bagi meyakinkan perkara itu, Datuk T mempertontonkan video tersebut kepada kira-kira 10 wartawan di sebuah bilik di Hotel Carcosa Seri Negara di sini semalam.
Datuk T memberitahu, pita rakaman itu ditemuinya secara tidak sengaja di bilik hotel tempat didakwa berlakunya hubungan seks ketika dia disuruh oleh pemimpin politik itu mengambil jam tangan Omega yang tertinggal di bilik hotel.