MISI KEMANUSIAAN MALAYSIA KE GAZA DISERANG KOMANDO ISRAEL 16 TERBUNUH



19 orang terbunuh akibat serangan nekad Komando Israel ke atas kapal Misi Kemanusiaan yang membawa Sukarelawan termasuk sukarelawan Kemanusiaan Malaysia.Kapal Mavi Marmara diserang di Laut Mediterranean .Komando Israel menembak kepada Sukarelawan-sukarelawan apabila turun dari Helikopter.Wartawan Penyiaran dari Malaysia dari Astro Awani dipercayai menaiki kapal yang diserang.

"NAMPAK PEHA JE...BUKANNYA SELUAR DALAM"


KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian pada malam itu,” kata pelakon jelita, Rozita Che Wan, mengulas kontroversi yang mencetus perdebatan dalam laman blog hiburan serta ruangan gosip di media cetak.


Justeru, dia berharap tidak perlulah semua pihak memperbesar atau mensensasikan isu terbabit.


“Saya tak nak komen banyak-banyak mengenainya,” katanya dalam kenyataan melalui SMS kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas isu skirt pendek yang dipakainya ketika menghadiri Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).


Isu berkenaan mula tercetus apabila gambar Rozita bersama seorang lagi pelakon, Azza Elite, duduk dengan keadaan seksi disebabkan skirt dipakainya agak singkat, tersebar dalam beberapa blog hiburan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi, tambahan pula pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah, itu, menunaikan umrah baru-baru ini.


Ada yang mendakwa pakaiannya dengan skirt pendek paras atas lutut hingga menampakkan paha putihnya itu dan Azza Elite yang juga berskirt singkat amat tidak sesuai kerana konsert berkenaan dihadiri ramai remaja.

Mengenai isu berkenaan yang sengaja disensasikan, terutama di blog hiburan, Rozita berkata, ia hak sesiapa untuk menulis apa yang mereka mahu.


Menurutnya, dia juga bukan sengaja mahu menunjukkan pakaiannya pada malam itu, apatah lagi untuk dirakamkan gambarnya untuk tontonan umum, terutama di Internet. “Ketika jurugambar nak ambil gambar saya malam tu, saya dah tanya, nampak peha tak? Dia jawab close-up saja...tak sangka pula jadi macam ini, apapun saya minta maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian.


“Saya tahu ramai (wartawan) yang cari saya untuk minta komen mengenai isu itu. Saya malas nak cakap apa-apa lagi...lagi pun benda tak elok tidak payah nak diperbesarkan,” katanya.


Rozita yang kerap dikaitkan dengan orang kenamaan mengumumkan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang pemuda yang kini berkhidmat di sektor perbankan di Singapura.


Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, bakal berhenti daripada lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan anak.


Difahamkan, pelakon itu menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi pada Ramadan nanti.

Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!

MISTERI TELAGA SIMPUL


Telaga Simpul kaya cerita mistik


Telaga Simpul di Pantai Marina, Kemaman ini pernah menjadi tempat persinggahan pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat.

KEMAMAN – Suatu ketika dahulu, tempat ini menjadi persinggahan bagi pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat. Dalam pada itu, menurut cerita orang- orang tua dahulu pula, tempat ini dikatakan menjadi ‘kediaman’ bagi makhluk halus.

Begitulah cerita-cerita yang sampai ke telinga penulis yang menyebabkan peninggalan sejarah ini dikunjungi baru-baru ini.

Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dari bandar Kemaman, pastinya kunjungan ke telaga tersebut memberikan satu kelainan apabila dapat melihat tinggalan sejarah mistik itu.

Telaga Simpul di Kemaman sememangnya terkenal dengan sejarahnya tidak kurang juga kaya dengan cerita-cerita mistiknya.

Maka tidak hairanlah, Majlis Daerah Kemaman (MDK) mengambil inisiatif memelihara lokasi tersebut selain menambah beberapa kemudahan baru bagi memberi keselesaan pengunjung.

Jika dahulu telaga ini hanya berdindingkan tanah, namun kini batu-bata mengelilingi telaga itu agar ia kelihatan lebih bersih dan memudahkan pengunjung mengunjunginya.

Kisah asal usul Telaga Simpul pastinya dapat dibaca apabila anda mengunjungi kawasan tersebut memandangkan terdapat sebuah batu yang menceritakan tentang kisah di sebalik wujudnya telaga itu.

Menurut cerita yang dimaklumkan, Telaga Simpul wujud akibat aliran mata air yang mengalir dari atas Bukit Pejajat dan mula bertakung di kaki bukit itu sehingga menjadi seperti sebuah kolam.

Airnya yang dikatakan tidak kering, jernih dan segar sehingga kini menyebabkan ia dipanggil telaga.

Menurut cerita penduduk, telaga ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk minum, basuhan serta mandi-manda selain menjadi tempat persinggahan pelayar-pelayar mengisi bekalan air untuk belayar.

Catatan awal mendapati telaga ini dipercayai dibina oleh Abdullah Munshi ketika beliau belayar ke Kelantan, Pahang dan Terengganu namun sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan beliau yang membinanya.

Keindahan Pantai Marina dapat dinikmati pengunjung kerana lokasinya berdekatan dengan Telaga Simpul di Kemaman.

Namun jika dilihat daripada catatan buku Abdullah Munshi dalam buku yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, ada menyebut semasa pelayaran balik dari Kelantan, beliau singgah ke satu tempat di Kemaman iaitu sebuah tempat yang dinamakan Telaga Simpul untuk mengambil air minuman dan mandi-manda.

Dalam catatan tersebut menceritakan ketika berada di telaga itu, beliau dan awak-awaknya mandi di telaga berkenaan.

Namun selepas mandi, beliau menyuruh awak-awaknya mengambil sehelai daun mengkuang setiap orang yang tumbuh di sekitar kawasan telaga berkenaan.

Beliau mengarahkan awak-awak menyimpul daun tersebut dan meletakkannya berhampiran telaga itu bagi mengelakkan mereka ditimpa bencana jika tidak berbuat demikian.

Menurutnya, ia perlu dilakukan kerana menjadi adat dan pantang-larang penduduk tempatan sejak dahulu lagi.

Tambah beliau, jika tiada mengkuang, daun pandan atau lalang juga boleh disimpul menggantikan daun mengkuang yang kian sukar ditemui di kawasan berkenaan.

Begitulah cerita sebuah telaga yang kini hanya menjadi tinggalan sejarah di Daerah Kemaman.

Ketika mengunjungi telaga tersebut baru-baru ini, penulis gagal menemui sebarang simpulan daun berhampiran telaga berkenaan.

Mungkin telaga tersebut tidak lagi menjadi tempat tumpuan penduduk menyebabkan ia terbiar dan barangkali ada yang takut untuk mendekati kawasan tersebut yang dipercayai mempunyai unsur-unsur mistik itu.

Lokasi Telaga Simpul yang berdekatan dengan Pantai Marina menjadikan ia tumpuan pelancong setiap hujung minggu.

Inisiatif MDK yang mendirikan sebuah surau dan bilik persalinan di kawasan berkenaan menjadikan kawasan tersebut lokasi pilihan pengunjung tempatan mahupun asing setiap hujung minggu.

Namun awas dengan kehadiran monyet-monyet liar di sekitar kawasan tersebut yang sering menjadikan kawasan berkenaan habitat mereka.

LAJU ENAM KALI KELAJUAN BUNYI


GAMBAR fail menunjukkan pesawat X-51A Waverider (dalam bulatan) berada di bawah sayap B-52 Stratofortress pada 9 Disember 2008.


WASHINGTON – Sebuah pesawat ujian milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), X-51A Waverider mencatat rekod dunia penerbangan supersonik selepas ia terbang selama enam minit pada kelajuan Mach 6 atau enam kali kelajuan bunyi iaitu kira-kira 7,416 kilometer sejam.

Tentera Udara AS melaporkan di laman webnya bahawa X-51A berlepas dari sebuah pesawat pengebom berat, B-52 Stratofortress di pesisir pantai selatan California kelmarin dan ia memecut hingga Mach 6 selama 200 saat sebelum hilang momentum menyebabkan ujian itu ditamatkan.

“Kami benar-benar teruja kerana ujian tersebut mencapai kejayaan dengan perubahan daripada penggunaan pesawat enjin kipas selepas Perang Dunia Kedua kepada enjin jet,” kata Pengurus Eksperimen Program X-51A, Charlie Brink.

Rekod sebelum ini cuma 12 saat. – AP

VANCOUVER - Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.

Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba.

Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.

"Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini," kata Murray.

"Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat," tambahnya.

Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi ia kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.

Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan ia adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer. - Agensi
TOK IMAM RAJA MAKSIAT,SUKA LENDIR HARAM

TOK IMAM RAJA MAKSIAT,SUKA LENDIR HARAM

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/27


PUTRAJAYA: Seorang imam yang juga guru agama di dua surau di sebuah taman perumahan di Klang, Selangor, bukan saja selesa melakukan maksiat dengan bersekedudukan lebih sebulan dengan ‘buah hati’ di rumahnya, malah turut bijak menipu jemaah surau kononnya wanita berkenaan isterinya yang sah.
Kegiatan imam ‘nakal’ berusia 26 tahun terbabit terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu rumahnya, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.


Sebelum serbuan, penguat kuasa Jais yang mendapat maklumat awam melakukan intipan dan siasatan lanjut mendapati rumah itu dihuni imam terbabit dan wanita berusia 27 tahun dipercayai kekasihnya dan menjadi pasangan ‘suami isteri’, sejak lebih sebulan lalu.


Walaupun pintu rumah terbabit diketuk berulang- kali, penghuninya mengambil tempoh lama kononnya tidak terjaga daripada tidur sebelum membuka pintu dan penguat kuasa mendapati pasangan itu sudah lengkap berpakaian.


Imam terbabit dipercayai menipu jemaah surau dan penghuni di taman perumahan itu dengan penampilan alim termasuk memberikan ceramah agama kepada warga emas di kedua-dua surau di taman berkenaan.


Bukan itu saja, imam terbabit yang mendakwa memiliki ilmu hasil pengajian di sekolah pondok selain dipercayai menggunakan taktik mencedok hasil ceramah tokoh agama terkenal dalam kaset dan cakera padat bagi meyakinkan orang ramai mengenai ketinggian ilmu agama dimiliki.


Putar belit imam muda terbabit semakin ‘menjadi’ apabila penghuni dan jemaah surau mudah mempercayainya selepas lelaki terbabit memberitahu wanita yang tinggal bersama di rumahnya adalah isteri yang sah.


Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral imam itu terbongkar selepas segelintir penghuni taman yang curiga membuat laporan kepada Jais yang mendapati wanita terbabit bukan isteri, tetapi teman wanita lelaki berkenaan dan sudah tinggal bersama tanpa ikatan sah.


Tanpa berselindung, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, tidak menolak kemungkinan sudah berlaku hubungan kelamin di antara imam terbabit dengan teman wanitanya itu berdasarkan tempoh lebih sebulan mereka tinggal bersama di rumah itu.


Beliau berkata, apabila seorang lelaki dan wanita yang tidak ada hubungan sah berdua-duaan, sudah pasti ada iblis yang menggoda dan tidak masuk akal jika mereka tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral sepanjang lebih sebulan tinggal bersama di rumah itu.


“Kami sebenarnya hairan bagaimana seorang imam yang turut diberi kepercayaan mengajar agama di surau berkenaan boleh melakukan maksiat dan dan menipu orang ramai menggunakan penampilan alimnya.

“Perbuatan ini cukup memalukan apabila penampilan alim imam terbabit dan kononnya ada ilmu digunakan untuk melindungi kegiatan maksiat yang dilakukan dengan ‘buah hati’ bagi mengelak tindakan pihak berkuasa,” katanya, semalam.


Bukan itu saja, Shahrom berkata, imam terbabit memperdayakan jemaah surau dan penghuni taman perumahan berkenaan dia sudah berkahwin di luar negara.


Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati wanita itu yang juga pekerja swasta bukan isterinya dan mereka bersekedudukan sejak lebih sebulan lalu berdasarkan maklumat awam diperoleh.


“Walaupun imam berkenaan memberi pelbagai alasan kononnya datang ke rumah itu pada waktu tertentu bagi melihat ‘buah hatinya’, siasatan mendapati dia memang tinggal di rumah itu bersama wanita berkenaan,” katanya Shahrom berkata, imam terbabit dan pasangannya sudah diambil keterangan awal sejurus mereka ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan Jais.

Menurutnya, mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Jais di Shah Alam bagi merekodkan keterangan lebih teliti sebelum dihadapkan ke mahkamah berhubung kesalahan dilakukan.
PELAJAR SETAN SKODENG NENEK MANDI TELANJANG

PELAJAR SETAN SKODENG NENEK MANDI TELANJANG

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
2010/05/26 SEGAMAT: Dia layak digelar cucu iblis kerana selain suka mengintai neneknya berusia 77 tahun yang mandi bogel, remaja berusia 14 tahun terbabit turut berani mencopet barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan dianggarkan bernilai RM2,000.

Remaja lelaki itu sudah lama diberhentikan sekolah berikutan masalah disiplin selain terbabit dalam pelbagai masalah sosial termasuk bergaduh dan membuli.

Namun, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 18 Mei lalu, remaja terbabit bertindak di luar batasan apabila menyelinap masuk ke rumah neneknya sebaik menyedari warga emas itu sedang mandi dan tinggal di rumah berseorangan.


Dia yang tinggal berhampiran rumah neneknya di Batu 11 Jementah, dekat sini, mengambil kesempatan mengintai warga emas itu sedang mandi bogel sebelum mengambil pakaian nenek yang digantungkan di pintu bilik air berkenaan.


Suspek yang tahu pakaian itu berisi barang kemas termasuk rantai dan wang tunai, kemudian melarikan barangan terbabit selepas puas melihat aksi bogel warga emas terbabit mandi.


Mangsa tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami beberapa tahun lalu hanya menyedari persalinan bersama barangan berharganya hilang sebaik selesai mandi.


Pada awalnya, dia yang tidak mengesyaki cucunya dalang mencuri barangan dan wang tunainya itu melaporkan kejadian kepada polis pada keesokan harinya.


Warga emas itu datang bersendirian ke balai polis di sini bagi membuat laporan memaklumkan pernah beberapa kali rumahnya dipecah masuk, tetapi sebelum itu hanya membabitkan kerugian kecil.


Malah, nenek terbabit memberitahu anggota polis bahawa kecurian sering berlaku setiap kali dia mandi.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota yang ditugaskan menyiasat kes berkenaan akhirnya menyelesaikan misteri kehilangan pakaian nenek terbabit dalam masa kurang 24 jam.


“Kami menahan suspek berusia 14 tahun itu di sebuah rumah berhampiran kira-kira jam 6 petang hari kejadian itu dilaporkan.


“Hasil serbuan, polis menemui sejumlah wang tunai iaitu baki duit yang dicuri berjumlah RM150 dan dua telefon bimbit selain seutas rantai dan gelang tangan,” katanya ketika ditemui.


Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati dua telefon bimbit yang dirampas itu disyaki dibeli suspek menggunakan wang yang dicuri daripada neneknya.


Beliau mendedahkan, remaja terbabit cuba mengaitkan kejadian yang dilakukannya seorang diri itu turut dilakukan bersama beberapa rakan lain.


“Namun, selepas soal siasat, kami mendapati semua cerita itu helah belaka, malah suspek kemudian mengaku mengadakan cerita kerana sering dibuli rakan,” katanya.

MALANG SI MATADOR..................


DUNIA

Tanduk lembu menusuk dagu matador


GAMBAR menunjukkan dagu Julio Aparicio ditanduk oleh seekor lembu jantan di Festival San Isidro Feria di Madrid pada Jumaat lalu.

--------------------------------------------------------------------------------


MADRID - Seorang matador, Julio Aparicio dirawat di unit rawatan rapi selepas dagunya ditusuk tanduk seekor lembu jantan di sini, kata beberapa pegawai hospital.

Aparicio yang berumur 41 tahun dihantar ke sebuah hospital selepas lembu jantan itu menusuk dagu matador tersebut yang menerobos ke dalam mulutnya.

Namun, beberapa pakar bedah berjaya membaiki semula tisu yang rosak akibat tandukan itu dan kelmarin dia dilaporkan sudah sedar semasa dirawat di unit rawatan rapi di hospital berkenaan.

Aparicio yang terkenal dengan gelaran Julito merupakan salah seorang bintang pada pertandingan laga lembu terkenal di Sepanyol, Festival San Isidro. - AFP
EKONOMI SEMAKIN BAIK,BONUS 2 BULAN UNTUK PENJAWAT AWAM

EKONOMI SEMAKIN BAIK,BONUS 2 BULAN UNTUK PENJAWAT AWAM

PULAU PINANG - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih menaruh harapan kerajaan akan menimbang semula pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam selepas ekonomi negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Presidennya, Omar Osman berkata, beliau berharap rayuan pemberian bonus itu akan dipertimbangkan pada tahun ini. - Bernama
RUMAH MAYAT VERSI MODEN-MUZIK ROCK IRING MAYAT

RUMAH MAYAT VERSI MODEN-MUZIK ROCK IRING MAYAT

KEMATIAN nampaknya bukan lagi isu kesedihan semata-mata, malah di sebuah pusat pengurusan mayat baru dibuka di Singapura, si mati boleh 'berangkat' dengan diiringi konsert rock.
Berbeza daripada pembakaran mayat biasa, di Pusat Peringatan Nirvana itu, tiada setanggi atau sami mendoakan roh si mati, sebaliknya hanya deretan kendi berisi abu manusia.


Sebaliknya, apabila tirai diangkat secara automatik bagi menampakkan kendi itu, asap dihasilkan mesin memenuhi ruang diikuti suara ratib yang dirakam terlebih awal.


Pelawat juga boleh mendengar kata-kata nasihat daripada suara itu.


Lebih menarik, pusat berkenaan dilengkapi pelbagai peralatan canggih termasuk sistem bunyi dan lampu bernilai kira-kira RM6.6 juta.


Ia turut menempatkan patung Buddha yang bergetar perlahan-lahan dengan hiasan lampu LED.


Melengkapkan hiasan di situ, suluhan cahaya terang bersinar ke atas kendi bagi melambangkan si mati diangkat ke 'syurga'.


"Ini baru 60 peratus daripada apa yang kami tawarkan," kata pekerja di situ, Jessie Ong.


Menurutnya, mereka masih dalam proses menyesuaikan cahaya laser di situ.

Sebahagian besar kawasan itu kekal gelap dan agak menakutkan. Di lantai, debu setanggi ditabur dan kendi diatur rapi sehingga mencecah siling dalam ruang kecil bersama gambar si mati.


Namun, ruang dan kemewahan di Pusat Peringatan Nirvana itu masih banyak.


Pengarah syarikat itu, Jeff Kong, berkata premis seperti itu biasanya menjadi tempat ziarah waris si mati hanya setahun sekali.


"Kami mahu mewujudkan suasana lebih menarik dan menggalakkan waris datang sekerap mungkin melawat saudara mereka," katanya.

Rumah mayat 'enam bintang' itu adalah yang pertama seumpamanya dan hasil idea syarikat Malaysia, NV Multi Corp.


Selain Singapura, syarikat itu turut membuka perniagaan sama di beberapa negara Asia Tenggara.


Buddha adalah agama majoriti penduduk Singapura dengan lebih 40 peratus penduduknya mengisytiharkan diri menjadi penganut.


Kebanyakan amalan mereka adalah gabungan elemen Taoisme dan pegangan tradisional Cina.


Rumah mayat seluas 11,200 meter persegi itu dilengkapi penyaman udara dan permaidani, selain lobi terbuka dan kawasan letak kenderaan tertutup.


Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2011, kemudahan bernilai RM72.3 juta itu akan menempatkan sehingga 50,000 ruang kendi di sepanjang 11 suite yang dibina mengikut elemen feng shui.


Setiap suite juga dilengkapi kawasan rehat dengan sofa dan perabot kayu bermutu tinggi untuk waris si mati berehat.


Untuk masuk ke kawasan debu mayat, waris diberi kad kunci elektronik.


Syarikat itu juga bercadang membuka sebuah restoran dan menyediakan sistem menghantar peringatan elektronik kepada keluarga si mati untuk datang memberi penghormatan pada setiap tarikh tertentu, misalnya pada hari ulang tahun kelahiran atau kematian.


Namun, harga untuk mendapat perkhidmatan itu tidaklah murah.


Berbanding rumah mayat kendalian negara (RM1,179 bagi satu ruang), kemudahan di situ dikenakan bayaran daripada RM72,000 untuk ruang kembar di Suite Diraja dan RM304,435 untuk Suite Keluarga yang boleh menempatkan sehingga 32 kendi.


Ada juga kelas ekonomi kepada sesiapa yang berminat.


Di situ, harganya bermula daripada RM7,200 satu ruang dan boleh dibayar secara ansuran.


Menurut Puan Goh, 60-an, dia menempah satu lot untuk menempatkan kendi abu mayatnya apabila dia mati nanti.


Katanya, kemudahan di situ berbaloi untuk dibeli.


"Tempat ini bersih, selesa dan kurang menyeramkan berbanding rumah mayat tradisional," katanya. - Reuters
LELAKI DAN MASALAH PROSTAT

LELAKI DAN MASALAH PROSTAT

APAKAH ITU PROSTAT?

Prostat adalah salah satu daripada kelenjar seksual bagi kaum lelaki.Ia terletak dipangkal zakar ,dibawah pundi kecing (Urinary bladder) dan berhadapan dengan Rectum (Saluran lurus terhujung usus besar).Prostat mempunyai lubang halus ditengahnya yang menyambungkan saluran kencing terus ke hujung zakar.

APAKAH FUNGSI PROSTAT

Fungsi utama prostat ialah untuk menyimpan dan mengeluarkan cecair alkali (pH 7.29)yang mana cecair ini merangkumi kira-kira 25-30% daripada jumlah keseluruhan kandungan air mani .Dengan ini pH air mani akan bersifat sedikit alkali.Sifat alkali dapat meneutralkan keadaan semulajadi vagina yang bersifat asid dan sekali gus memanjangkan tempoh hayat sperma .Prostat juga mempunyai otot-otot lembut turut membantu semasa proses pengeluaran (pancutan )air mani.

APAKAH YANG MENYEBABKAN PROSTAT BERMASALAH?

8 daripada 10 masalah prostat adalah disebabkan prostat bengkak.Dari segi perubatan,keadaan ini digelar BPH (Begnign Prostat Hypertrophy/Hyperplasia).Keadaan ini adalah disebabkan perubahan hormon didalam prostat.Masalah BPH dialami hampir separuh daripada lelaki berusia 50 tahun ke atas.Perkataan benign menunjukan keadaan tersebut bukanlah kanser dan ia adalah berita positif kepada kaum lelaki kerana kebanyakkannya ia boleh dirawat.

Adakalanya juga Prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai Prostatitis.Masalah ini biasanya dialami oleh lelaki yang lebih muda.

Kurang 1 daripada 10 orang yang mempunyai masalah ini akan mendapat kanser prostat.
Punca utama yang menyebabkan pembengkakan prostat ini masih belum disahkan namun ia sering dikaitkan dengan peningkatan usia,jenis kaum dan kekurangan zink.

BAGAIMANAKAH YANG DIKATAKAN PROSTAT BERMASALAH

1.Pembuangan air kencing menjadi lebih sukar daripadablazimnya.

2.Banyak kali terpaksa meneran untuk membuang air kencing.

3.Bangun malam lebih daripada 2 kali untuk membuang air kencing.

4.Semasa kencing,aliran terhenti dan mula kembali beberapa kali.

5.Serlepas proses kencing,masih berasa pundi kencing belum kosong.

6.Semakin sukar untuk menahan kencing.

MINAH ARAB RATU USA 2010


LAS VEGAS: Seorang peserta keturunan Arab Lubnan mengalahkan 50 peserta lain untuk muncul sebagai Ratu Amerika Syarikat 2010, semalam.


RIMA Fakih dimahkotakan sebagai Ratu AS 2010 di Las Vegas, semalam. Rima Fakih, 24, dari Dearborn, Michigan memenangi gelaran itu di Planet Hollywood Resort & Casino selepas pertandingan pakaian gaun dan wawancara.

Dalam bahagian wawancara, dia ditanya mengenai merancang keluarga, sama ada ia perlu ditanggung oleh insurans kesihatan.

Dia menjawab: “Saya percaya ia perlu kerana kosnya agak mahal.”

Rima menggantikan Ratu AS 2009, Kristen Dalton dan akan mewakili negara itu pada pertandingan Ratu Universe 2010.


Dia juga memenangi hadiah mendiami sebuah apartmen di New York berserta dengan kos sara hidup, pendapatan yang tidak didedahkan dan pelbagai perkhidmatan kesihatan, profesional serta kecantikan secara percuma.

Keluarganya pindah ke Amerika Syarikat dari Lubnan semasa dia masih bayi.



Tempat kedua dimenangi oleh Ratu Oklahoma, Morgan Elizabeth Woolard selepas dia disoal dalam bahagiwan wawancara mengenai undang-undang baru imigresyen Arizona.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Ratu Virginia, Samantha Evelyn Casey, diikuti oleh Ratu Colorado, Jessica Harman dan Ratu Maine, Katherine Ashley Whittier.

Panel lapan hakim, termasuk bintang bola keranjang Amerika, Carmelo Anthony dan pemilik hotel Teassure Island, Phil Ruffin memilih pemenang. - AP
BILA TAYAR KENDERAAN ANDA PERLU DITUKAR

BILA TAYAR KENDERAAN ANDA PERLU DITUKAR

UNTUK KENDERAAN PENUMPANG PERSENDIRIAN

1.Lapisan bunga menyentuh tanda paras amaran botak (tread wear indicator)atau capai ukuran minima 1.6mm.

2.Terdapat rekahan ,tanda haus yang tidak sekata atau terdapat benjolan dipermukaan bunga/dinding tayar.

3.Pernah pancit lebih dari lima kali dikawasan permukaan bunga tayar (tayar yang sama)atau lubang pancit (puncturedhole)berdekatan antara satu sama lain(anggaran 1 inci).

4.Pancit didinding (side wall)atau bahu tayar sebelah bawah (lower shoulder).

5.Kecederaan atau kerosakan pada dinding tayar.

6.Bunga tayar yang tidak sekata akibat daripada pakir yang lama.

7.Tayar yang digunakan telah melebihi lima tahun penggunaannya.

8.Sila buat pemeriksaan tayar dikedai bertauliah.

PUNCA-PUNCA PENYEBAB TAYAR MELETUP

1.Kurang tekanan angin dalam tayar.

2.Tayar terlebih angin.

3.Membawa lebih muatan dari had kemampuan.

4.Terlanggar objek atau lubang yang besar pada permukaan jalan.

5.Penggunaan tayar mwlwbihi jangka hayat

6.Penggunaan tayar yang sedia rosak seperti terdapat benjolan dan luka/koyak.

7.Penggunaan melebihi dari tanda paras amaran botak (TWI)

8.Gaya pemanduan melebihi kemampuan tayar.

9.Pemilihan tayar yang salah seperti had berat dan indek kelajuan lebih rendah dari spesifikasi pengilang kenderaan.

10.Tidak meyelenggara tayar dengan sempurna seperti pengambaian penjajaran dan pengimbangan tayar .

11.Terdapat rekahan pada dinding dan lapisan bunga tayar.

12.Proses pembaikan dan penampalan selepas kebocoran yang tidak betul

ANGKARA CINTA SANTAU


AKIBAT TOLAK CINTA....

KUANTAN – Akibat menolak cinta, seorang gadis terlantar menanggung azab kesakitan apabila anggota badannya dari pinggang hingga ke kepala tidak boleh disentuh dipercayai angkara ilmu hitam.

Nor Mazidah Norais, 23, dari Felda Lepar Hilir 3, di sini dipercayai menjadi mangsa dendam seorang lelaki yang cintanya tidak berbalas sehinggakan anak gadis itu menjadi mangsa santau sejak dua tahun lalu.

Malah lebih mengejutkan, santau yang ditujukan kepada anaknya itu tidak dapat dipulihkan walaupun ibunya, Maziah Darhan, 46, telah membawanya menemui ramai pengamal perubatan tradisional.

Maziah berkata, keadaan anaknya ibarat mayat hidup kerana bukan sahaja terlantar malah berat badannya susut selain penglihatannya juga tidak berfungsi dan percakapan terbatas akibat terpaksa menanggung kesakitan.

Menurutnya, kesakitan yang ditanggung anaknya sepanjang masa dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata malah dia menghadapi kesukaran untuk menguruskan anaknya kerana tidak boleh disentuh.

“Anak saya pernah cerita sewaktu dia sihat dulu yang dia menolak cinta seorang lelaki kerana dirasakan tidak sesuai menjadi pasangannya. Ia perkara biasa bagi anak gadis tetapi saya tidak terfikir pula ada yang sanggup menggunakan ilmu hitam.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan tidak tahu siapa punya angkara tetapi saya terkilan kerana masih ada orang yang sanggup mengguna ilmu hitam untuk membalas dendam. Mengapa perlu santau anak saya. Lebih baik buat anak saya menyukainya.

“Hidup anak saya sangat sukar. Sakitnya sepanjang masa dan kulit tidak boleh disentuh, malah tidak boleh juga terkena angin dari kipas kerana pedih yang amat sangat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menyingkap detik permulaan anaknya terkena ilmu hitam, dia berkata, Mazidah yang bekerja di butik di pusat membeli belah di bandar ini pulang ke rumah dan muntah-muntah sebelum keadaan bertambah buruk.

Katanya, lebih meruntun jiwa, ada kalanya anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak dapat menahan kesakitan sehingga meraung-raung kerana azab yang ditanggung sangat dahsyat.

“Bukan saya nak percaya anak saya terkena ilmu hitam tetapi semua bomoh mengatakan perkara sama. Maka sedikit sebanyak saya kena percaya malah penyakit yang dideritai anak saya sangat misteri.

“Tidak terhitung betapa ramainya bomoh saya temui untuk mengubat anak saya, semuanya kata angkara santau. Setiap kali pergi berubat ada sahaja benda yang dikeluarkan tetapi anak saya tidak dapat dipulihkan. Sudah ribuan ringgit dihabiskan untuk mengubatinya.

Maziah turut membawa anaknya itu menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mengesan penyakit yang dianggap misteri itu tetapi keputusan yang diterima amat mengejutkan.

“Doktor kata anak saya sihat dan tidak mengidap apa-apa penyakit berbahaya. Selain itu, Nor Mazidah juga turut menjalani rawatan lain untuk mengesan penyakit tetapi keputusannya negatif.

“Jika bukan kerana ilmu hitam, saya tidak tahu lagi apa yang sebenarnya dialami anak saya. Perubatan moden gagal mengesan penyakitnya. Saya telah mencuba kedua-dua cara,” katanya.

Maziah berkata sekiranya anaknya tidak dibawa berubat dengan bomoh, keadaannya semakin parah dan kesakitan yang dialaminya juga semakin teruk jeritan mampu didengar jirannya.

Selepas anaknya jatuh sakit, Maziah terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kafe di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kerana menjaga Nor Mazidah yang terlantar sepanjang masa dan memerlukan perhatian daripadanya.

“Anak saya mandi dua kali seminggu sahaja kerana saya kasihan dengannya. Setiap kali disentuh dia akan menangis kerana sakit tetapi saya terpaksa untuk mengelakkan badannya terkena jangkitan lain.

“Sayalah yang menemaninya sepanjang masa. Saya redha dengan ketentuan tetapi akan terus berusaha mengubati anak saya walaupun susah sekali pun. Saya juga tidak jemu mengadakan solat hajat dan membaca Yasin untuknya,” katanya.

Maziah turut merayu kepada orang ramai yang mengetahui cara atau memiliki kebolehan dalam perubatan cara Islam dan tradisional membantu merawat anaknya itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang melawat mangsa semalam akan merujuk perkara itu kepada Felda bagi mendapatkan bantuan untuk keperluan Nor Mazidah.

“Saya berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan dugaan ini. Saya akan cuba membantu. Saya akan berbincang dengan Felda untuk melihat bantuan yang bagaimana boleh disalurkan.

“Saya berharap sesiapa di luar sana mempunyai ilmu perubatan dapat tampil membantu anak gadis ini. Umurnya masih muda dan perjalanan hidupnya masih jauh,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga mangsa di talian 09-5495482 atau 013-9646034.

RAGAM SUKAN SK.PASIR AKAR 2010









BESUT .Sekolah Kebangsaan Pasir Akar telah mengadakan acara sukan tahunannya pada 10 Mei hingga 12 Mei 2010 dengan jayanya walaupun tertunda selama seminggu dari tarikh sebenar kerana hujan.Sekolah ini terletak di Kampung Pasir Akar iaitu 13 KM dari Bandar Jerteh .Sekolah ini juga adalah merupakan sekolah berasrama menempatkan pelajar-pelajar yang berpontensi dari segi akademik dan kokorikulum serama 80 orang penghuni.

Berikut adalah gambar-gambar disekitar acara sukan tersebut yang sempat kami rakamkan .









JUAL DARA DAN TERUNA DALAM PROGRAM REALITI



LAS VEGAS: Sebuah program realiti yang bakal diterbitkan tidak lama lagi akan menyaksikan gadis dan lelaki remaja melelongkan dara dan teruna mereka kepada pembida paling tinggi.
SEORANG gadis antara yang menawarkan dirinya untuk dilelong.
Program berkenaan akan diteribitkan oleh penerbit dokumentari, John Sisely yang sebelum ini dipaksa meninggalkan Australia selepas pihak berkuasa negara itu mengancam mendakwanya berhubung projek itu.

Dia kemudian memindahkan projek berkenaan ke Nevada, Amerika Syarikat, tempat terletaknya ‘bandar dosa,’ Las Vegas.

Siseley berharap memperoleh pembeli dalam lelongan yang akan disiarkan secara langsung dari sebuah rumah pelacuran.

Sisely menghabiskan masa lebih setahun mencari peserta lelaki dan wanita yang masih dara untuk menjual diri mereka di depan kamera.

Bercakap kali pertama sejak memilih peserta, Siseley berkata dia akan membayar setiap peserta sebanyak AS$20,000 (RM65,000).

Peserta juga akan menerima 90 peratus daripada harga jualan mereka. Baki 10 peratus itu akan diserahkan kepada rumah pelacuran itu.

Penerbit filem yang berpusat di Melbourne itu mengadakan saringan di Sydney tahun lalu dengan poster berbunyi ‘Dara Dikehendaki’ yang berlatarbelakangkan imej Virgin Mary.

Katanya: “Bahagian paling sukar ialah memberitahu ibu bapa. Mereka membenci saya.”

Seorang pelayan yang menggunakan nama samaran Veronica berkata, ibu bapanya begitu marah apabila dia mendedahkan hasrat untuk menjual dirinya.

Katanya, dia bersetuju menyertai projek kontroversi itu kerana mahukan wang dan menukarkan tanggapan terhadap seks.

“Secara teknikalnya, saya menjual dara saya untuk wang. Secara teknikalnya juga, ia akan diklasifikasikan sebagai pelacuran. Tetapi ia tidak akan berlarutan.

“Kerana itu, pada pendapat saya, saya tidak akan menjadi pelacur.”

Seorang peserta lelaki yang dikenali sebagai Alex, 20 berkata, dia menyertai projek itu sebagai cara untuk berkenalan dengan seseorang.

Seorang lagi calon, Ronan, berkata, dia sudah bosan menunggu calon sesuai untuk menjadi teman wanita dan akan menimbang sebarang tawaran.

Calon ketiga pula yang menamakan dirinya John berkata, dia bersedia mengadakan seks dengan pembida lelaki mahupun wanita.

“Wang adalah insentif yang baik tetapi saya lebih teruja dengan perjalanan projek itu,” katanya.

Projek berkenaan mencetuskan kemarahan aktivis keluarga.

Seorang senator di Australia menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, mengarut dan meloyakan. - Agensi

MEGAN FOX TIDAK LAGI SEKSI


Los Angeles Kembali aktres Megan Fox telah kehilangan gelaran wanita paling seksi di dunia. Kali ini tahta bintang film 'Transformers' itu dicantas oleh model lingerie Victoria's Secret.

Marisa Miller, itulah model lingerie yang terpilih sebagai wanita paling seksi di dunia versi majalah FHM. Kali ini Marisa dipilih berdasarkan polling dari pembaca di 24 negara, seperti Inggeris, Amerika, Australia, Cina dan Perancis.

Dipetik dari Daily Mail terbitan hari selasa wanita 31 tahun itu dipilih oleh jutaan pengikut polling tersebut. Ia sukses mengalahkan Megan Fox yang pada 2009 lalu, terpilih sebagai wanita paling seksi di dunia.

Selain sebagai model Victoria's Secret, Marisa juga kerap tampil di majalah Sports Illustrtaed. Dia juga merupakan model dari Harley Davidson.

Marisa memulai karirnya sebagai model sejak usia 16 tahun. Dia lahir di Santa Cruz, California dan kini telah berkahwin.

Sebelumnya dalam polling FHM Inggris, Marisa menduduki posisi tiga perempuan paling seksi. Di Inggeris, ia dikalahkan oleh penyanyi Cheryl Cole.

PENGGALI KUBUR REKA KERETA DARI KERANDA



ESSEX – Seorang bekas penggali kubur di Britain, Phil Bissett telah membina sebuah kereta satu tempat duduk berkelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan menggunakan keranda sepanjang dua meter, lapor akhbar Daily Mail semalam

Bissett, 62, membeli keranda besi buatan tangan seberat 75 kilogram itu dengan harga £98 (RM470) melalui laman web lelongan eBay dan menamakan kenderaan ciptaannya Holy Smoke yang bermaksud kejutan.

“Ia mempunyai enjin berkapasiti 1300 cc dan kelajuannya pula mencecah 160 km/j,” katanya..

Menurut warga emas itu, beberapa bahagian lain kenderaan itu termasuk cesi diambil dari sebuah trak Volkswagen, kereta buggy dan sebuah kereta Ford lama.

Kereta unik milik Bissett boleh digunakan di jalan raya kerana dia telah membayar premium insurans dan mendaftarkan kenderaannya dengan pihak berkuasa.

“Kali pertama saya memandunya di jalan raya, seorang pemandu hampir terbabas ke dalam sebuah parit kerana terkejut manakala pemandu lain sibuk merakamkan gambar kereta saya,” katanya.

Bissett yang kini bekerja sebagai pelukis tatu menambah, dia mendapat idea membina kereta itu sewaktu melayari Internet dalam keadaan mabuk.

“Ia seperti kereta dalam filem seram kelakar, Adams Family dan ramai orang menganggapnya kelakar tetapi isteri saya pula bencikan kenderaan tersebut,” katanya.– Agensi

WANG IHSAN KEPADA MURID SEKOLAH DIKAJI SEMULA



Pengagihan wang ihsan kepada murid sekolah dikaji semula

BACHOK - Pengagihan wang ihsan daripada kerajaan pusat kepada lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah rendah di Kelantan yang membabitkan peruntukan RM20 juta akan dikaji semula.

Pengerusi Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ini berikutan keputusan kerajaan untuk meneruskan semula bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Miskin (KWAPM) yang ditangguh sebelum ini berikutan ekonomi negara semakin pulih.

"Kita tidak mahu mereka menerima bantuan sebanyak dua kali berturut-turut", kata kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan berhubung pengagihan wang ihsan kepada penerima lain akan diketahui dalam tempoh terdekat selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, katanya peruntukan RM5 juta untuk membantu keluarga yang menjadi mangsa bencana alam seperti ribut dan banjir serta waris kepada satu keluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya akan diteruskan.-Bernama

BUDAK MELAYU BERMATA BIRU


BUKAN di New York, London atau Riyadh sebaliknya cuma di Kota Kuala Muda, Kedah. Tidak berketurunan orang putih atau Asia Barat, mahupun berdarah kacukan, kewujudan seorang kanak-kanak Melayu yang memiliki sepasang mata biru di negara ini dianggap luar biasa.

Iris atau anak mata Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal berwarna biru air laut!

"Setahu saya memang tidak ada darah mat saleh atau Arab dalam keturunan kami. Kulit kami pun gelap-gelap," kata datuk kanak-kanak itu, Ahmad Mustafa, 62, kepada Jurnal.

Difahamkan, semasa dilahirkan, mata kanak-kanak itu berwarna hitam macam kebanyakan orang Melayu. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

Aizat yang berusia setahun 4 bulan merupakan anak kepada pasangan bisu dan bermasalah pendengaran, Mohd. Rizal Mohamad, 34, dan Noraini Ahmad, 31.

Ahmad berkata, setakat ini doktor yang ditemuinya belum mengetahui punca mata biru Aizat, namun mengesahkan matanya tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Hal itu mendorong tercetusnya pelbagai tanggapan. Selain Aizat mungkin mewarisi ciri bapanya yang memiliki sebelah mata yang sedikit kebiruan, hubungan rapat ibu kanak-kanak itu dengan seekor kucing Siam peliharaan juga dikaitkan sebagai punca mata biru Aizat.

"Semasa mengandungkannya, ibunya gemar bermain dengan seekor kucing Siam yang bermata biru. Selalu selepas pulang dari kerja, dia akan bermain dengan kucing itu dan suka memandang matanya. Dia sering membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruannya.

"Ada orang kata kejadian ini mungkin kenan kucing tetapi saya tidak pasti sama ada ia betul atau tidak. Apa pun, saya anggap ini semua kuasa Allah," kata Ahmad.

Biarpun tidak diketahui sama ada apa yang terjadi kepada Aizat sebagai kenan atau tidak, kejadian itu mendorong Jurnal untuk mengupas mengenai kenan haiwan.

JIKA bukan kenan kucing, mata biru Aizat mungkin diwarisi daripada bapanya yang mempunyai sebelah mata yang kebiruan.

Kenan katak

Pembongkaran misteri kenan ini telah menemukan Jurnal dengan Muhammad Noraiman Kamal yang sudah berusia 10 tahun tetapi masih tidak boleh berdiri dan kakinya membengkok. Keadaannya itu dikaitkan dengan kenan katak.

"Begitulah keadaan anak saya. Umur 10 tahun tapi badan kecil macam budak umur setahun. Tangannya seperti tidak ada. Bila dia meniarap memang nampak macam katak," kata bapa Nor Aiman, Kamal Buyong, 70.

"Biasanya pukul 2 atau 3 pagi dia masih berjaga dan saya bermain dengannya. Pukul 5 pagi baru dia tertidur," ujar Kamal yang dikurniakan 11 orang anak dan Nor Aiman merupakan anak bongsu.

Isterinya, Siti Ramlah Mamat, 53, bercerita, keadaan itu mungkin berlaku kerana dia pernah mencurahkan air kepada katak semasa mengandungkan Nor Aiman.

"Saya terkejut, geli tengok. Saya curah air padanya. Rasanya tak panas sangat air itu. Masa itu, tak ingat yang saya mengandung. Kandungan baru berusia tiga minggu," ujarnya yang pasrah dengan takdir Tuhan dan tetap menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang..

Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Penjagaan Bayi dan Ibu Dalam Pantang mentakrifkan kenan berasaskan pemahaman orang Melayu ialah kecelakaan, sama ada merupakan penyakit atau kecacatan yang dialami oleh bayi yang baru dilahirkan akibat melanggar pantang, yang dilakukan ibu atau bapa ketika bayi masih dalam kandungan.

Ia boleh terjadi kerana perbuatan membunuh, menyeksa binatang atau si pelaku melakukan sesuatu dalam keadaan lupa dirinya sedang mengandung.

Seorang bidan, Raja Aizam Raja Ahmad, 58, berkata, kenan juga mungkin boleh berlaku kepada ibu-ibu mengandung yang terkejut melihat binatang.

"Itu sebab pesan orang tua-tua dulu, kalau ibu sedang mengandung, lagi-lagi ketika hamil tiga bulan ke bawah, si ibu atau bapanya perlu menjaga kelakuan. Si suami dinasihatkan tidak pergi berburu atau memotong haiwan.

Amarah haiwan

"Si ibu juga tidak boleh terkejut nampak sesuatu. Terlalu suka atau amat berkenan pada sesuatu pun tak boleh juga," katanya yang pernah menyaksikan pelbagai kejadian kenan seperti kenan biawak, kenan ular, kenan monyet dan kenan katak.

"Pernah satu kejadian di Perak, seorang bayi yang dilahirkan itu hanya normal pada waktu siang. Tetapi, setiap malam dia menangis. Sampailah ibunya merendamkannya dalam air di dalam tempayan baru dia berhenti menangis.

"Bila diangkat sahaja, dia kembali menangis. Sejak itu, setiap malam dia perlu berendam dalam air. Selama tujuh bulan begitu sehinggalah bayi itu meninggal dunia.

"Kejadian itu berlaku mungkin disebabkan si ibu yang merupakan seorang pekebun, geli dengan seekor biawak lalu tercangkul kepalanya," ujarnya yang lebih mesra disapa Mak Engku ketika ditemui di kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Kejadian kenan ular pula menjadikan seorang kanak-kanak itu tidak boleh makan tumbuhan-tumbuhan menjalar seperti tembikai lalu tubuhnya akan mengeluarkan sisik. Kanak-kanak lelaki itu akhirnya meninggal dunia pada usia 17 tahun.

"Diceritakan, semasa mengandung, ibu budak itu terkejut apabila melihat ibunya (nenek yang mudah melatah) 'bermain' dengan anak ular kerana seorang cucunya telah memperdajal dengan menyorokkan telur ular (kemudian menetas) di dalam tin," katanya yang sudah lebih 30 tahun menjadi bidan.

"Mungkin apa yang berlaku itu kerana haiwan marah dan ia menjadi peringatan kepada manusia supaya tidak menyakiti haiwan. Lagipun, agama mendidik kita supaya saling menyayangi hidupan di muka bumi," katanya.

Mak Engku mengingatkan, kenan bukan sahaja boleh berlaku akibat perbuatan ibu, bapa atau ahli keluarga semasa kehamilan tetapi juga bagi jangka masa sebelum itu.

KAKI Noraiman yang bengkok menyerupai katak dikaitkan dengan kenan amfibia itu.

Perlindungan

"Ada seorang lelaki yang telah menembak mati seekor ibu monyet semasa mudanya dan beberapa tahun selepas itu dia berkahwin dan melahirkan anak kenan monyet.

"Tangan anaknya panjang luar biasa, berjalan seperti monyet dan anaknya suka duduk di atas TV," ujarnya.

"Apa pun, kita kena ambil peka pesan orang tua-tua. Bila mereka larang pasti ada sebabnya. Tetapi kita juga kena ingat semuanya berlaku dengan kuasa dan ketentuan Allah," katanya lagi.

Pengamal perubatan Islam di Darussyifa', Bangi, Abdul Rahman Nawas berkata, pendirian Islam berhubung hal ini ialah jangan percaya 100 peratus tetapi jangan tidak percaya langsung kerana telah berlaku banyak kejadian aneh sebegitu.

"Memang kenyataan sebenar tidak kita ketahui. Tapi kita mengambil pendirian kemungkinan kezaliman telah berlaku.

"Kita kena ingat semua makhluk di bumi ini berzikir kepada Allah. Maka, ia juga boleh berdoa kepada Allah.

"Berdasarkan hadis, doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijab, ia terus sampai kepada Allah.

"Mungkin haiwan yang dizalimi berdoa memohon sesuatu ditimpakan ke atas mereka yang menzaliminya," ujarnya.

Sebagai perlindungan, Abdul Rahman berkata, individu perlu sentiasa beringat dan memohon pertolongan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Jika dalam keadaan terpaksa membunuh haiwan sekali pun, perlu diberikan amaran terlebih dahulu.

AHMAD MUSTAFA bersama cucunya, Mohd. Aizat Aiman yang mempunyai sepasang mata biru.

"Kalau ada ular masuk rumah pun, jangan terus bunuh. Tinggalkan rumah itu dan beri tempoh tiga hari sekurang-kurangnya untuk ia pergi," ujarnya.

Abdul Rahman berkata, dia sendiri pernah mengubati kanak-kanak yang kenan burung kasuari, kenan ular dan kenan kera. Katanya, kebanyakan kenan berlaku kepada kanak-kanak.

"Alhamdulllah, jika kenan yang melibatkan perbuatan, kita masih boleh mengubati setakat ini.

"Cuma kenan yang bersifat kecacatan fizikal itu di luar kemampuan kami," ujarnya.

Penaja

insan yang cintakan ilmu

Pengikut